1,000 penuntut kejuruteraan akan terima dua sijil ketika majlis graduasi - Utusan Malaysia

1,000 penuntut kejuruteraan akan terima dua sijil ketika majlis graduasi

FAISAL RAFIQ Mahamd Adikan (dua dari kiri) dan Ismail Mokhtar (kanan) menunjukkan MoU yang ditandatangani antara USM dengan SWCorp sambil disaksikan oleh Kamaruzaman Umar (tengah) di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL:  Kira-kira 1,000 bakal graduan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan di sini akan menjadi kumpulan pertama yang mengikuti program pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negara ini. 

Ini bermakna, mereka bukan sahaja menerima sijil ijazah sarjana muda mengikut jurusan masing-masing, malah, akan turut memperoleh SKM Tahap 3 iaitu melalui kaedah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). 

Program baharu yang akan menjadi nilai tambah kepada bakal graduan itu hasil kerjasama strategik antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan USM, di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal, di sini hari ini. 

Kerjasama menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kamaruzaman Umar dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Datuk Zaihan Shukri. 

Hadir mewakili USM  ialah Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan manakala SWCorp pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mokhtar. 

Pemeteraian kerjasama itu juga sekali gus membolehkan USM ditauliah sebagai Pusat Latihan Kemahiran (PLK) dalam bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam bagi wilayah utara. 

Dalam pada itu, Kamaruzaman memberitahu, KPKT menyasarkan sehingga 10,000 graduan untuk memiliki SKM dalam bidang berkenaan di seluruh negara menjelang 2030. 

Katanya, jangkaan setiap program SKM itu pula akan mengambil masa antara empat hingga lima tahun. 

“Bagi program SKM di USM ini, kita menjangkakan mereka akan menyediakan kira-kira 40 peratus tempat latihan teori dan tenaga pengajar bagi modul-modul pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. 

“Setelah tamat komponen teori pula, para pelatih akan mengikuti modul praktikal iaitu baki 60 peratus lagi di mana-mana syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal di bawah seliaan SWCorp di seluruh negara,” ujarnya. 

Sementara itu, Faisal Rafiq berharap kerjasama dengan SWCorp akan membolehkan para pensyarah USM berkongsi kepakaran di bawah Kluster Pengurusan Sisa Pepejal (SWAM) di sini. 

“Bukan sahaja kepakaran sumber manusia, usaha sama ini turut mendedahkan para penuntut universiti tentang sistem pengurusan sisa yang efektif dan lebih holistik selain membolehkan pengembangan bakat serta tenaga kerja,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya