PUTRAJAYA: Seramai 800 individu menerima watikah pelantikan sebagai Renjer Hidupan Liar di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti atau BP3 di sini kelmarin.
Menurut kenyataan media Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, pelantikan renjer terbaharu kali ini turut melibatkan sejumlah 224 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 439 individu dari kalangan komuniti Orang Asli pelbagai etnik.
Selebihnya pula ujar beliau, merangkumi 112 orang awam, 15 veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 10 pesara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan penyampaian watikah itu disempurnakan timbalan menteri tersebut, Datuk Ali Biju.
Program BP3 secara rasmi mula diperkenalkan Perhilitan pada 29 Jun 2020 sebagai usaha integrasi pembanterasan jenayah hidupan liar di kawasan hutan di seluruh Semenanjung, iaitu kesinambungan daripada Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang lebih awal dilancarkan kementerian itu pada 3 September 2019 melibatkan pelbagai agensi.
Antaranya ialah pihak Perhilitan sendiri, PDRM, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Perbadanan Taman Negara Perak dan Perbadanan Taman Negara Endau Rompin Johor selain penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pencinta Alam, Persatuan Penyelidik Rimba Malaysia, Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia dan Dana Hidupan Liar Sedunia.
Renjer dilantik itu akan memantau Banjaran Titiwangsa, Taman Negara di Pahang, Kelantan,Terengganu, Pulau Pinang, Royal Belum, Endau Rompin serta rizab di Krau dan Sungkai.
“Mereka juga banteras aktiviti pencerobohan pembalakan haram dan pemburuan hidupan liar dalam kawasan perlindungan termasuk hutan simpanan kekal dan tapak Ramsar,” kata Ali.
Kepakaran veteran ATM dan Orang Asli ujarnya, meningkatkan keberkesanan pengesanan kes di kawasan ‘titik panas’ termasuk operasi pembasmian jerat dipasang pemburu haram.
Beliau menambah, bagi meningkatkan lagi rondaan penguatkuasaan, kementerian itu turut membuat strategi baharu dengan penglibatan veteran PDRM, Perhilitan selain orang awam.
Pada peringkat awal, renjer perintis OBK disertai cuma 55 individu Orang Asli dan 100 veteran ATM dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan jumlah itu ditambah kepada 600 individu dan kumpulan tersebut diraikan pada 31 Julai lalu bersempena dengan sesi graduasi tamat latihan ketika sambutan Hari Renjer Sedunia 2021. -UTUSAN ONLINE