Vaksin untuk kanak-kanak 5 hingga 11 tahun diluluskan - Utusan Malaysia

Vaksin untuk kanak-kanak 5 hingga 11 tahun diluluskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan meluluskan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-368 yang bersidang hari ini dengan memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi produk vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection untuk digunakan bagi golongan kanak-kanak itu.

Kata beliau, vaksin jenis berkenaan mempunyai kekuatan lebih rendah berbanding vaksin  Comirnaty yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas. 

Beliau berkata, PBKD turut meluluskan vaksin Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection iaitu vaksin Comirnaty dengan formulasi baharu yang tidak memerlukan pencairan (dilution) sebelum administrasi.

“Vaksin ini mempunyai tempoh jangka hayat lebih panjang, iaitu 10 minggu berbanding  formulasi sedia ada (satu bulan) apabila disimpan pada suhu 2 ºC hingga 8ºC setelah dinyah beku.   

“Indikasi Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection ini adalah untuk imunisasi Covid-19 kepada individu berumur 12 tahun dan ke atas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, pemegang pendaftaran bagi kedua-dua vaksin Comirnaty di atas adalah Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. dan dikilangkan oleh BioNTech Manufacturing  GmbH, Jerman. 

Menurut beliau, PBKD juga memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin  Convidecia® Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5  Vector) Solution for Injection sebagai dos penggalak kepada individu berumur 18 tahun dan ke atas.

Katanya, ia diperlukan dengan sela masa 3 hingga 6 bulan selepas menerima dos pertama daripada vaksin sama yang mana pemegang pendaftaran bagi vaksin ini ialah  Solution Biologics Sdn. Bhd. dan ia dikilangkan oleh CanSino Biologics Inc., China. 

“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai secara  berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data  terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin-vaksin tersebut kekal positif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya