Untung bukan alasan keluar caruman - Utusan Malaysia

Untung bukan alasan keluar caruman

Pengeluaran KWSP sebelum ini dijangka memberi kesan kepada pelaburan dan pendapatan seterusnya dividen dana simpanan persaraan terbesar negara itu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan pelaburan kasar RM48.02 bilion untuk sembilan bulan pertama berakhir 30 September lalu bukan alasan untuk orang ramai terus mendesak kerajaan membenarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan.

Sekalipun berdepan tuntutan berterusan, keuntungan itu tidak wajar ‘diusik’ bagi menjamin keuntungan pada masa depan, sekali gus membolehkan dividen yang baik diberikan kepada pencarum.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, keuntungan KWSP adalah hasil pelaburan jangka panjang dan tidak akan dapat dicapai sekiranya caruman dikeluarkan dalam jumlah yang agak besar.

“Jadi, menerusi keuntungan ini nanti akan diterjemahkan dalam bentuk pulangan dividen yang baik untuk pencarum. Kalaulah KWSP mencairkan aset pelaburan demi pengeluaran secara ad hoc, jangan harap kita boleh capai untung sebegini.

“Bukan sahaja pencarum yang mengeluarkan wang akan terjejas, pencarum yang tidak menuntut pengeluaran wang pun akan terpalit sama. Yang terbaik sekarang adalah mem­biarkan sahaja wang itu disimpan dalam KWSP bagi tujuan strategik pelaburan yang dirancang,” katanya ketika dihubungi semalam.

KWSP kelmarin mendedahkan memperoleh pendapatan pelaburan kasar RM48.02 bi­lion, menyaksikan peningkatan 7.7 peratus atau RM3.42 bilion berbanding RM44.60 yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, pakar ekonomi juga Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob mencadangkan supaya KWSP meningkatkan dividen penca­rum antara 5.5 hingga 6.0 peratus.

Ini selepas KWSP berjaya mencatatkan prestasi memberangsangkan tahun lalu sekalipun berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19 di samping pengeluaran wang caruman melalui skim i-Sinar dan i-Citra.

Tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 5.20 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.90 peratus untuk simpanan syariah dengan agihan berjumlah RM47.64 bilion.

“Setidaknya, peningkatan kadar dividen ini melambangkan keprihatinan KWSP terhadap pencarum yang sudah mencarumkan wang mereka. Selain untung lebih, pencarum juga menerima manfaat lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya