Ungka tangan putih sesat di KL diselamatkan Perhilitan - Utusan Malaysia

Ungka tangan putih sesat di KL diselamatkan Perhilitan

Ungka tangan putih
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seekor ungka tangan putih yang dipercayai sesat di ibu negara berjaya diselamatkan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). 

Menurut hantaran agensi tersebut menerusi laman sosial rasminya semalam, mamalia yang turut dikenali sebagai Lar Gibbon itu ditemui para penduduk di Taman Intan Baiduri, Kepong.

“Susulan maklumat diterima daripada orang awam berhubung kehadiran hidupan liar tersebut, operasi menyelamat dilancarkan pasukan Perhilitan Wilayah Persekutuan melibatkan sekumpulan kakitangan yang dibawa khas dari Bahagian Konservasi Hidupan Liar dan Bahagian Konservasi Ex-Situ Ibu Pejabat Perhilitan.

Malahan katanya, petugas Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di bawah Perhilitan yang didatangkan dari Sungkai, Perak juga bergegas membantu dalam operasi tersebut.

Pemeriksaan awal mendapati ungka betina berkenaan dalam keadaan sihat dan kemudian selamat dipindahkan ke premis pusat tersebut untuk proses pemantauan yang selanjutnya.

Ungka merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya oleh pihak kerajaan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan jika disimpan, individu itu boleh didakwa di mahkamah. 

Sekiranya disabitkan kesalahan, pelaku akan dikenakan hukuman denda yang tidak melebihi amaun RM200,000 atau dipenjara sehingga tempoh 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Spesies ini direkodkan keberadaan di barat daya China selain timur Myanmar dan jirannya, Thailand serta barat laut Sumatera di Indonesia dan kawasan hutan Semenanjung Malaysia.

Siamang merupakan ungka bersaiz terbesar dalam keluarga binatang ini namun spesies tangan putih juga terkenal dengan teriakan unik bersahutan bagi melindungi wilayah mereka. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya