UiTM Pahang tubuh Masmed perkasa budaya keusahawanan mahasiswa - Utusan Malaysia

UiTM Pahang tubuh Masmed perkasa budaya keusahawanan mahasiswa

SHAHANIZA Shamsuddin (kanan) Dr. Mohd. Ilham Adenan (kiri) menyaksikan perkhidmatan gunting rambut ditawarkan mahasiswa di Masmed di UiTM Jengka di Maran, Pahang. -UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Khazanah Alam Jengka di sini menubuhkan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (Masmed) bagi memperkasa budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa universiti berkenaan. 

Rektornya, Profesor Dr. Mohd. Ilham Adenan berkata, antara fokus Masmed adalah latihan dan aktiviti berkaitan perniagaan dan keusahawanan sekali gus dan selaras dengan adaptasi digital era Revolusi Industri 4.0. 

Justeru, tegasnya, ruang jualan disediakan meliputi kawasan dalam dan luar kediaman yang akan disewakan secara harian atau bulanan kepada anggota Koperasi Siswa (Kosiswa), persatuan pelajar, fakulti, pelajar, individu dan juga unit ladang bagi aktiviti pasar malam, pasar minggu dan juga aktiviti keusahawanan yang lain.

“Cadangan aktiviti dalam masa terdekat ialah mewujudkan tapak jualan seperti jualan makanan, pakaian dan barangan terpakai. 

“Di samping itu, perkhidmatan amatur pelajar seperti menggunting rambut, urutan tapak kaki, dandanan wajah dan lain-lain turut disediakan kerana selari dengan menjadi keperluan asas kesihatan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Latihan dan Inkubator Masmed di UiTM Cawangan Pahang Kampus Khazanah Alam di sini hari ini. 

Pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Menurut Mohd. Ilham, dengan wujudnya Pusat Latihan dan Inkubator Masmed, diharapkan ahli Kosiswa dapat menjalankan aktiviti lebih terancang dan menyusun semua aktiviti sebaiknya bagi menjana kadar pendapatan.

Sementara itu, Shahaniza berkata, para mahasiswa harus merebut peluang melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran agar boleh dimanfaatkan selepas tamat belajar.

Menurutnya, keusahawanan merupakan sebahagian daripada lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu graduan holistik berciri keusahawanan dan seimbang. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya