Tiga pekerja klinik ditahan jual sijil vaksin palsu - Utusan Malaysia

Tiga pekerja klinik ditahan jual sijil vaksin palsu

KAMARUL Zaman Mamat menunukkan antara tiga suspek kakitangan klinik yang terlibat dalam aktiviti penjualan sijil digital Vaksin Covid-19 secara tidak sah pada sidang akhbar di IPK, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Golongan antivaksin hanya perlu berbelanja antara RM300 hingga RM650 bagi mendapatkan sijil digital vaksin palsu yang dijalankan oleh sebuah sindiket di sebuah klinik swasta di Johor Bahru, di sini.

Bagaimanapun, kegiatan yang dilakukan oleh tiga pekerja klinik itu sendiri sejak hampir sebulan lalu terbongkar apabila mereka ditahan polis sejak Isnin lalu.   

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tindakan ketiga-tiga suspek itu terbongkar selepas pemilik klinik swasta berkenaan membuat laporan polis pada pukul 10.53 malam, Ahad lalu setelah mendapati aktiviti mencurigakan dibuat kakitangannya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan lapan individu iaitu tiga kakitangan klinik swasta dan lima pembeli yang berusia lingkungan antara 24 hingga 42 tahun.

“Kakitangan klinik swasta berkenaan yang mempunyai akses kepada pendaftaran MySejahtera kemudian akan memasukkan butiran pembeli yang sudah membuat pembayaran walaupun mereka tidak menerima apa-apa suntikan vaksin Covid-19.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini ialah dengan merekrut ejen atau wakil yang diperoleh dari Facebook atau WhatsApp bagi mencari individu yang mahu sijil digital vaksin tanpa perlu disuntik. 

“Pembeli kebanyakannya adalah orang awam yang perlu menggunakan MySejahtera bagi membolehkan mereka melancong atau ke tempat awam selain golongan antivaksin yang tidak mahu disuntik vaksin. 

“Ejen akan dibayar komisen sebanyak RM125 bagi setiap sijil digital palsu yang diperoleh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. 

Dalam penahanan itu, polis merampas lapan telefon bimbit milik suspek termasuk pembeli yang mengandungi imej sijil digital vaksin tidak sah selain komunikasi perbualan antara kakitangan klinik dan pembeli berkenaan.

Turut dirampas ialah komputer riba yang dipercayai digunakan untuk mendaftarkan butiran penerima sijil vaksin digital palsu dalam sistem MySejahtera.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan menerima laporan dari empat negeri iaitu Selangor, Terengganu, Johor dan Kelantan berhubung klinik swasta menjual sijil vaksinasi palsu setakat ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain dilaporkan berkata, kegiatan berkenaan di seluruh negara masih berada pada tahap terkawal selain dipantau dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, menerusi siasatan awal yang dilakukan, polis Johor kini sedang mengesan 22 lagi pembeli sijil vaksinasi palsu yang semua maklumat mereka sudah diperoleh.

Katanya, kesemua pembeli sijil vaksinasi palsu itu diminta untuk menyerah diri segera sebelum polis bertindak menahan mereka.

“Dua kakitangan klinik swasta berkenaan yang ditahan pada Isnin lalu direman empat hari mulai semalam manakala seorang lagi kakitangan klinik berkenaan yang ditahan semalam akan direman mulai hari ini,” ujarnya. 

Kes disiasat dibawah Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya