‘Tidur-tidur ayam’ bimbang rumah dinaiki air - Utusan Malaysia

‘Tidur-tidur ayam’ bimbang rumah dinaiki air

KEDIAMAN salah sebuah rumah mangsa banjir, Maheran Adon yang dinaiki air sehingga paras lutut di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat di Johor. -UTUSAN/FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Ramai penduduk terutama mereka yang tinggal di kawasan rendah dan kerap berdepan bencana banjir tidak dapat tidur lena kerana bimbang bila-bila masa sahaja air memasuki rumah.

Ternyata kebimbangan sebuah keluarga di Kampung Bukit Raja, Pengerang di sini tidak salah apabila rumah mereka dinaiki air sejak awal pagi semalam dan perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Nur Aidashakira Kamarudin, 24, mereka bertambah risau apabila dimaklumkan fenomena air pasang besar turut berlaku tengah malam semalam sebelum dipercayai bertembung dengan hujan lebat di kawasan itu.

“Hujan di sekitar rumah saya sudah mula turun pada pukul 12 tengah malam tetapi tidak terlalu lebat, namun ia tidak berhenti sehingga beberapa jam yang menyebabkan kami mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kami hanya tidur-tidur ayam kerana bimbang tidak sedar sekiranya rumah dinaiki air, apatah lagi kediaman kami memang berada di kawasan lebih rendah dan sering berdepan banjir sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambah Nur Aidashakira, kira-kira pukul 3.30 pagi, hujan mulai lebat sebelum dia bersama ibu dan adiknya terus berjaga sehingga air mula memasuki ke kawasan dalam rumah mereka pada paras betis.

“Akhirnya kami berpindah keluar ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ramunia kerana bimbang jika air naik lebih tinggi dan kami juga memang sudah bersedia awal sebaik melihat ramalan cuaca yang dikongsikan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil yang ditemui berkata, PPS SK Teluk Ramunia yang dibuka pada pukul 7.30 pagi telah menempatkan 16 orang mangsa dari Kampung Bukit Raja dan Kampung Jomis, di sini.

Katanya, daripada jumlah tersebut seramai 14 orang mangsa sedang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) akibat Covid-19,

“Mangsa HSO telah ditempatkan di bangunan yang berasingan dengan mangsa yang lain bagi mengelak penularan Covid-19 berlaku di PPS tersebut.

“Malah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS sentiasa dipantau untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama dalam pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal antara satu sama lain,” katanya.

Tambah Hazlina, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi kini juga sedang memantau kawasan-kawasan lain di daerah itu yang berisiko dinaiki air selain mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB). -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya