PETALING JAYA : ‘Tiada istilah berkenaan Perayaan Hari Agama Sedunia.’
Demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad terhadap satu poster sambutan Hari Agama Sedunia yang tular dalam media sosial hari ini.
Menurut Idris, umat Islam seharusnya mengukuhkan keimanan untuk menjadi hamba Allah yang taat disamping meneruskan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau kemudian memetik ayat 19 surah Al-Imran yang menyentuh sesungguhnya agama yang benar dan diredai di sisi Allah ialah Islam.
“Tiada istilah berkenaan Perayaan Hari Agama Sedunia. Ia jelas dan ia wajib diimani.
“Teruslah mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dan teruskanlah juga mengukuhkan keimanan untuk menjadi hamba Allah yang taat,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, tular satu poster Selamat Menyambut Hari Agama Sedunia dengan memetik ayat 13 surah al-Hujurat.
Tindakan itu bantahan pelbagai termasuk para tokoh agama yang menegaskan perkara itu tidak seharusnya berlaku di negara ini.
Antaranya tokoh yang menentang idea sambutan tersebut, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim; Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Dr. Kamilin Jamilin dan Pakar Akidah, Dr. Aizam Mas’ud.
Menurut hantaran Zamri dalam Facebook, sambutan Hari Agama Sedunia adalah inisiatif dan cadangan agama Bahai. -UTUSAN ONLINE