TEMERLOH: Kerajaan negeri bersetuju bekerjasama dengan kerajaan Pusat khususnya Kementerian Pendidikan untuk memindahkan sekolah yang kerap dilanda banjir ke lokasi baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ia merupakan perancangan jangka panjang dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas beliau mengadakan lawatan dan kerja pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar di Jerantut, dekat sini sebelum ini.
Katanya, usaha itu perlu bagi memastikan supaya kejadian banjir tidak lagi berulang di sekolah terlibat sekaligus mengakibatkan kerugian yang tinggi kesan daripada kerosakan akibat banjir.
“Kami bersedia membantu menyediakan tapak baharu sekiranya kerajaan Persekutuan dapat memberikan peruntukan. Kita telah mengenal pasti beberapa tapak dan tanah yang diyakini selamat, tinggi dan tidak ampuh sekiranya banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau keadaan sekolah yang ditimpa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Taram, Kerdau di sini hari ini.
Syed Ibrahim berkata, anggaran jutaan ringgit diperuntukkan oleh pihak kerajaan bagi setiap sekolah yang terjejas setiap kali berlaku banjir justeru perancangan jangka panjang perlu diwujudkan.
“Dalam membantu sekolah-sekolah yang menghadapi banjir ini, kerajaan perlu mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang.
“Jangka pendek adalah dengan mengenal pasti kerosakan dan kos kerugian di mana ia telah dikemukakan kepada pihak kementerian untuk diambil tindakan. Jangka Panjang pula. dengan memindahkan sekolah yang sering terlibat banjir ini ke lokasi baharu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 41 sekolah tidak dapat dibuka bagi sesi persekolahan baru di mana 21 daripadanya dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
“Daripada 41 sekolah itu juga, terdapat tujuh sekolah yang air banjirnya sudah surut dan kering sepenuhnya manakala 13 buah sekolah masih lagi ditenggelami air.
“Walaupun air sudah kering di tujuh buah sekolah ini, namun proses pembersihan dan persiapan peralatan masih perlu dilakukan. Sebanyak 13 sekolah yang masih ditenggelami air itu terdiri daripada, tiga sekolah di Bera, enam di Pekan, sebuah di Rompin dan dua sekolah di Temerloh,” katanya.
Bagi sekolah yang ditunda pengoperasiannya, beliau berharap, pihak terlibat seperti Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan guru-guru terlibat dalam melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) agar pelajar terlibat tidak tercicir dari pengajian mereka.
“Kita mengambil pengalaman daripada Covid-19 di mana walaupun sekolah ditutup namun sesi pembelajaran tetap diadakan di rumah. Begitu juga buat pelajar yang terlibat dengan banjir ini,” katanya.