REMBAU: Sempena sambutan Tahun Baharu Cina minggu hadapan, Yayasan Petronas hari ini meraikan kira-kira 102 orang penghuni Rumah Kanak-Kanak Rembau di sini dalam Program Sentuhan Kasih Tahun Baru Cina 2022.
Pengurus Besar, Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria berkata, program tersebut sebahagian daripada program-program kemasyarakatan bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat.
“Majlis pada hari ini merupakan salah satu lokasi Program Sentuhan Kasih Tahun Baharu Cina yang merangkumi kesemua 13 buah negeri dan dua Wilayah Persekutuan dengan sumbangan diberikan kepada 1,460 buah keluarga dan sembilan rumah anak-anak yatim.
“Menerusi program ini, sejumlah bantuan bekalan makanan dan kit penjagaan serta kebersihan diri termasuk hamper perayaan akan diedarkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk kepada 60 keluarga kurang bernasib baik serta 102 penghuni rumah kebajikan di Negeri Sembilan,” katanya.
Yang hadir sama pada program tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon; Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi dan Pengetua Rumah Kanak-kanak Rembau, Dalila Mohd Nasir.
Menurut Sazli, dalam program berkenaan, pihaknya turut menyelitkan persembahan tarian singa bagi memberikan keceriaan kepada penghuni.
“Anak-anak di sini merupakan anak-anak yang didera, diabaikan, dianiaya secara seksual atau tidak mendapat penjagaan sebaiknya dari keluarga dan dengan perintah mahkamah melalui Akta Kanak-kanak untuk berada di bawah jagaan JKM.
“Kami turut memberikan bantuan bekalan makanan dan kit penjagaan serta kebersihan diri termasuk kit ujian kendiri Covid-19, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka selain barangan tambahan seperti kit pertolongan cemas, termometer dan alat permainan untuk dimanfaatkan oleh penghuni Rumah Kanak-Kanak Rembau,” katanya.
Sementara itu, Rosnah berkata, JKM Negeri Sembilan menyambut baik usaha yang dilaksanakan syarikat korporat termasuklah Yayasan Petronas dalam usaha menjadikan kebajikan merupakan tanggungjawab bersama supaya lebih ramai lagi golongan memerlukan dapat dibantu. -UTUSAN ONLINE