MELAKA: Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) melancarkan antologi Sumpah Guru, naskhah yang menghimpunkan 20 kisah kecekalan dan perjuangan pendidik Melayu mendidik anak bangsa.
Presiden KGMMB, Jasni Md. Kechik berkata, edisi sulung itu menjadi cerminan intelektual guru-guru Melayu yang diolah dalam bentuk cerpen pendek, hasil karangan terbaik disumbangkan oleh ahli-ahli persatuan.
Beliau berkata, buat masa ini buku berkenaan diedarkan secara percuma kepada ahli-ahli KGMMB, namun tidak menolak akan memasarkannya secara komersial sekiranya wujud permintaan menggalakkan masyarakat.
“Antologi Sumpah Guru menceritakan tentang pengalaman cikgu dan kita telah pilih serta saring 20 yang terbaik kita bukukan. Maknanya 20 penulis terlibat datang dari seluruh Malaysia.
“Semuanya menceritakan mengenai sejarah perkhidmatan dan pengalaman mereka dalam antologi itu. Ini adalah pengeluaran pertama kita yang boleh kita kongsikan dengan guru-guru muda yang ada sekarang.
“Buku ini sebenarnya selepas mendapat cabaran daripada Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid. Dia mencabar kami dalam satu majlis perasmian bahawa KGMMB mesti mengeluarkan penulisan. Sebab guru Melayu nak kembangkan bahasa Melayu mesti hasilkan penulisan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Antologi Sumpah Guru di Hotel Mudzaffar, Ayer Keroh di sini Jumaat lalu.
Turut berlangsung dalam majlis sama adalah pengurniaan anugerah dan pingat KGMMB kepada pemimpin dan bekas pemimpin.
Jasni menambah, sebanyak lima kategori diwujudkan bagi menghargai jasa guru-guru yang telah mengemudi persatuan itu sejak 1946.
“Yang pertama adalah Anugerah Tokoh Kepemimpinan, ini adalah yang tertinggi. Seterusnya adalah Bintang Kebaktian, Pingat Jasa Cemerlang, Pingat Jasa Bakti dan Anugerah Khas yang diberikan kepada tokoh luar,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE