PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan stok penimbal gula putih bertapis oleh dua buah kilang memproses gula iaitu Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) bermula 1 Januari lalu.
Langkah itu sebagai inisiatif awal bagi mengelakkan masalah bekalan gula di pasaran pada masa hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan ini dibuat setelah negara mengalami isu perbekalan gula beberapa kali sejak kebelakangan ini ekoran daripada pelbagai faktor seperti penutupan kilang, jangkitan Covid-19 terhadap pekerja kilang dan kerosakan kepada mesin boiler.
Katanya, selaras dengan Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, kedua-dua syarikat diarahkan untuk melaksanakan stok penimbal berjumlah 53,000 tan metrik bagi gula putih bertapis pada setiap masa dan hanya digunakan apabila berlaku kekurangan bekalan di sesuatu kawasan selaras dengan Arahan Pengawal Bekalan.
“Pihak KPDNHEP juga mengadakan sesi libat urus dengan kedua-dua syarikat pengeluar utama bagi membincangkan dan mencari solusi bagi mengelakkan kejadian kekurangan bekalan gula dalam pasaran berlaku lagi di masa hadapan sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam usaha memastikan supaya bekalan gula dalam pasaran domestik sentiasa mencukupi.
“Malah, strategi bagi memastikan pengeluaran dan bekalan gula dalam pasaran domestik tidak terjejas juga sudah dirangka melalui tiga strategi yang dilihat bagi mengelakkan masalah bekalan gula di pasaran pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nanta Linggi berkata, tiga mekanisme kawalan stok penimbal pula adalah seperti kuantiti gula pasir putih bertapis disimpan secara stok terapung pada kadar yang ditetapkan selama 11 hingga 15 hari.
Kedua, katanya, pemantauan berterusan dilakukan berdasarkan pelaporan yang dikemukakan pengilang bagi memastikan kuantiti stok sentiasa berada pada kadar ditetapkan.
“Mekanisme ketiga iaitu kegagalan mematuhi arahan boleh menyebabkan tindakan dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama atau denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya.
“Pelaksanaan stok simpanan gula putih bertapis pengilang gula tempatan dijangka membantu mengelakkan gangguan terhadap bekalan gula berlaku di masa akan datang dan sekali gus dapat mengelakkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menaikkan harga dan menyimpan stok gula ketika berlaku krisis gangguan gula,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, penggunaan gula domestik dianggarkan sebanyak 0.65 kilogram (kg) sebulan per kapita dan menjadikan jumlah tahunan yang diperlukan dianggarkan, sebanyak 255,450 tan metrik setahun bagi keperluan 32.75 juta rakyat Malaysia.
“Bagi pengeluaran kedua-dua syarikat pengilang gula adalah sebanyak 1,500,000 tan metrik setahun mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia dan kegunaan industri di Malaysia.
“Sehingga kini laporan mingguan pengeluaran gula yang diterima daripada empat buah kilang gula tersebut menunjukkan trend pengeluaran gula yang sama,” katanya. -UTUSAN ONLINE