Solidariti NGO, komuniti di Perlis mengenai alam - Utusan Malaysia

Solidariti NGO, komuniti di Perlis mengenai alam

PELBAGAI aktiviti sempena program Hooligan Camp mengenai kempen kesedaran alam semula jadi di lokasi perkhemahan hujan-hujan di Gua Kelam, Padang Besar, Perlis semalam.- UTUSAN/ MOHD. RAZYMAN RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Keindahan hutan dengan rimbunan pokok hujan-hujan di Gua Kelam di sini seolah-seolah menjadi simbolik kepada kempen kesedaran alam semula jadi anjuran Hooligan Camp di sini, semalam.

Kempen yang diketuai aktivis alam semula jadi dan kesenian, Amin Arawi, 40, itu turut disertai wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar negeri ini dan pelbagai komuniti lain serta penggiat seni tempatan.

Ia sebagai sokongan mengenai kepentingan menjaga dan memulihara alam semula jadi daripada ‘tangan-tangan jahat’ manusia selain tanda solidariti kepada mangsa banjir sekitar Lembah Klang dan Pahang.

Antara NGO yang terlibat dalam program tersebut ialah Pencinta Hijau dan Hidupan Liar Perlis (PNW), Pahlawan Sampah Perlis (Trash Hero Perlis), Hikers Perlis dan Perlis Mountaineering Savour (Pemos).

Antara aktiviti menghiasi program tersebut ialah deklamasi puisi, perkhemahan, persembahan kesenian selain kutipan derma untuk mangsa yang terlibat dengan bencana.

Amin berkata, program yang diadakan itu adalah sebagai mesej mengenai kepentingan menjaga alam semula jadi terutama memulihara hutan-hutan di negara ini dan turut disampaikan melalui deklamasi puisi tersebut.

Katanya, selain hujan lebat, bencana alam yang berlaku terutama membabitkan banjir besar sebelum ini adalah berkait dengan pelbagai aktiviti pembangunan dan pembalakan.

“Kita mahu mengajak orang ramai kembali melestarikan alam semula jadi. Malaysia mempunyai 1,001 keunikan dan keindahan alam semula jadi dan ia perlu sentiasa dipelihara.

“Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini sangat menyedihkan dan sempena tahun baharu 2022, rakyat diminta terus menjaga keindahan alam semula jadi,” katanya di sini, semalam.

Tambah Amin, lokasi perkhemahan yang dipilih sebagai lokasi program tersebut adalah sebagai simbolik kepada kempen berkenaan.

“Suasana rimba dengan keindahan rimbunan pokok hujan-hujan di sini menggambarkan betapa indahnya alam semula jadi. Apabila berada di sini, kita merasa cukup tenang.

“Alam semula jadi khususnya di kawasan hutan-hutan adalah antara lokasi terbaik bagi menikmati ketenangan dan disebabkan itu ia perlu sentiasa dipelihara dengan mengelak daripada sebarang aktiviti pembalakan,” katanya yang turut aktif sebagai pencipta lagu. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya