ARAU: Penduduk Perlis akan merasai cuaca panas pada siang dan sejuk di waktu malam yang dijangka berlarutan hingga April ini berikutan perubahan musim angin timur.
Pada musim angin timur di antara Disember hingga April, penduduk di negeri ini akan merasai cuaca panas terik pada waktu siang dan bertukar sejuk serta nyaman pada waktu malam sehingga awal pagi.
Malah, dalam suasana berangin itu, pelbagai aktiviti seperti menerbangkan wau turut kembali aktif khususnya di kawasan kampung-kampung atau tanah lapang pada waktu petang.
Ketika ini, pokok mempelam harumanis juga sudah mula mengeluarkan bunga seterusnya menanti musim buah berkenaan sekitar April.
Seorang penduduk dari Kampung Sena, Mohd. Romzi Mohd. Rejab,45, berkata, musim angin timur sememangnya sangat dinanti-nantikan oleh penduduk di negeri ini khususnya pada waktu malam apabila mereka dapat merasai suasana yang cukup sejuk dan nyaman.
Namun katanya, pada waktu siang pula cuaca sangat panas menyebabkan dia terpaksa menggunakan pendingin hawa setiap kali ingin berehat di rumah kerana tidak tahan panas.
Katanya, cuaca panas pada musim angin timur boleh mencecah sehingga 36 atau 37 darjah celsius namun menurun sehingga 22 darjah celsius pada tengah malam sehingga awal pagi.
“Kami sudah biasa dengan situasi seperti ini (siang panas terik, malam sejuk) kerana setiap tahun Perlis akan berdepan musim angin timur antara Disember sehingga April.
“Pada musim ini juga kita akan dapat lihat orang main wau dan pada waktu malam pula ramai yang memakai baju sejuk seolah-seolah seperti berada di luar negara (pada musim sejuk) ketika waktu malam di negeri ini,” kata peniaga itu kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Seorang penjawat awam, Jazaly Amry Jaafar ,36, pula berkata, bil elektrik selalunya meningkat pada musim ini kerana kebanyakan penduduk menggunakan pendingin hawa dalam tempoh lama khususnya pada waktu siang.- UTUSAN ONLINE