PETALING JAYA: Semakan semula terhadap model borong tunggal bagi pelancaran rangkaian 5G mungkin memberi impak jangka panjang kepada pengendali rangkaian telekomunikasi, menurut Maybank Investment Bank (IB) Research.
Pada bulan lepas, kementerian telah mengejutkan pasaran kerana ingin mengkaji semula model pelancaran 5Gnya.
Bagaimanapun, Penganalisis Maybank IB, Tan Chi Wei menegaskan, ketidaktentuan dasar itu boleh menjejaskan sentimen dalam tempoh terdekat ini.
“Apabila kami berpendapat perpindahan ke rangkaian borong 5G tunggal milik kerajaan tidak dapat dielakkan, kementerian mengejutkan pasaran bulan lalu dengan kesediaan untuk menyemak kedudukan 5G dan keputusan akan dibuat pada bulan ini.
“Memandangkan kerajaan masih bergelut untuk menyelesaikan masalah banjir, kami menjangkakan hasil semakan semula itu mungkin tertangguh lagi,” katanya dalam satu nota kajian.
Pada 15 Disember lalu, Digital Nasional Berhad (DNB) memberitahu, Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi pihak Unifi Mobile dan YTL Communications Sdn. Bhd. mewakili Yes akan menjadi dua pengendali pertama di negara ini yang menyediakan akses 5G di beberapa kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.
Sejak pengumuman tersebut, Chi Wei berkata, pihaknya mendapati banyak laporan media yang cenderung kepada DNB pada bulan lalu dengan kebanyakannya menyokong potensi penjimatan kepada pengguna berbanding kekurangan pertindihan sumber dan penempatan luar bandar yang lebih baik.
“Dalam hal ini, kami tidak berpihak kepada sesiapa, tetapi ia bukan perbandingan yang dibuat semata-mata.
“Persoalannya bukan siapa yang akan melancarkan dan menguruskan rangkaian tunggal 5G dengan lebih baik, sama ada kerajaan (penyediaan kakitangan dan membabitkan kos) atau konsortium telekomunikasi (walaupun berorientasikan keuntungan).
“Penempatan luar bandar pula sebaliknya boleh ditampung dengan dana Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP),” ujarnya.
Tambah Chi Wei, di bawah model diterajui DNB ketika ini, selepas 4G tidak lagi digunakan pada dekad akan datang, syarikat telekomunikasi mudah alih sedia ada akan berubah menjadi pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) atau peruncit, sekali gus tidak dapat mengelakkan kehilangan nilai pasaran.
Ujarnya, DNB pula, secara teori akan meraih nilai keuntungan seterusnya memberi peluang kerajaan untuk menjana kewangan menerusi penyenaraian.
“Oleh itu, nilai secara tidak langsung dipindahkan daripada syarikat telekomunikasi mudah alih sedia ada (sebahagian besarnya dimiliki oleh dana pelaburan berkaitan kerajaan) kepada DNB,” katanya. – UTUSAN