Segera naik taraf sekolah daif di Sabah - Utusan Malaysia

Segera naik taraf sekolah daif di Sabah

MOHD. ARIFIN MOHD. ARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi jawatankuasa pembangunan pendidikan negeri Sabah akan mengenal pasti sekolah-sekolah daif yang perlu pembinaan baharu atau penaiktarafan segera.

Menteri Tugas-tugas Khas merangkap Exco Pendidikan Negeri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan itu akan mengadakan mesyuarat pada bulan ini untuk memberikan input kepada Kementerian Pendidikan.

Langkah sebegitu akan memudahkan KPM mendapatkan senarai sekolah-sekolah yang perlu penaiktarafan dan pembinaan baharu di Sabah.

“Jawatankuasa pembangunan pendidikan ini dipengerusikan sendiri oleh saya dan turut dianggotai oleh 15 orang ahli termasuk Pengarah Pendidikan Negeri. Jawatankuasa ini akan bermesyuarat dua bulan sekali.

“Memandangkan Timbalan Menteri Pendidikan juga orang Sabah maka, saya akan berbincang dengannya mengenai usaha menyelesaikan masalah sekolah-sekolah daif dan tidak selamat di Sabah,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Setakat 31 Mei 2020, sebanyak 414 sekolah di Sabah mempunyai bangunan pada skala impak enam iaitu tidak selamat dengan pengesahan Jabatan Pendidikan Negeri.

Sementara itu, 52 sekolah mempunyai bangunan pada tahap skala impak tujuh iaitu tidak selamat dengan pengesahan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mengulas lanjut katanya, beliau akan meneruskan siri jelajah ke setiap daerah pada tahun ini untuk mendapatkan input daripada setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengenai permasalahan yang dihadapi di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman.

Walaupun pendidikan di bawah bidang kuasa persekutuan namun, selaku Exco Pendidikan, beliau akan cuba memberi lebih banyak input kepada Kementerian Pendidikan bagi menyelesaikan masalah berkaitan pembangunan pendidikan di Sabah.

Mengenai isu tular mengenai pelajar terpaksa menggunakan jambatan gantung usang dan menaiki perahu atau bot yang kecil tanpa jaket keselamatan, perkara sebegitu akan diberi perhatian untuk diselesaikan segera dengan kerjasama agensi berkaitan.

Justeru, beliau akan mendapatkan maklumat daripada PPD dan pejabat daerah terlibat untuk mengetahui situasi sebenar yang perlu diambil kira bagi menyelesaikan isu-isu yang dihadapi pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN