Ramai mahu bantu siswi putus kaki terkena kipas bot - Utusan Malaysia

Ramai mahu bantu siswi putus kaki terkena kipas bot

MOHD. Azhar Zakaria menunjukkan gambar Nur Nabila selepas terlibat dalam kemalangan di Carribean pada Selasa lalu. - UTUSAN/NUR ANATI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR : Kisah kemalangan penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Nabilah Mohd. Azhar, 25, yang terputus kaki kanan selepas terkena kipas bot ketika menjalani latihan menyelam di Dive Division Curacoa, Caribbean di sini Selasa lalu kini mendapat perhatian ramai.

Bapa, Mohd. Azhar Zakaria, 58, berkata, keluarganya bersyukur apabila ramai pihak tampil untuk membantu keluarga dan anak bongsunya itu bagi urusan rawatan dan perjalanan mereka di Caribbean bagi bertemu anaknya.

“Pihak pengurusan UUM khususnya telah menguruskan urusan perjalanan wakil keluarga kami iaitu isteri saya, Nor Manira Khalib, 57, serta seorang wakil UUM untuk ke sana pada 7 Januari ini untuk melihat sendiri keadaan anak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, mereka turut dimaklumkan isteri dan wakil UUM akan berada di sana selama 10 hari namun perjalanan pulang isterinya tidak ditetapkan dan akan terus menemani anaknya itu selain perjalanan pulang anak mereka juga masih tidak diputuskan berikutan ia bergantung kepada tahap kesihatan dan kebenaran pihak hospital.

Menceritakan detik mengetahui kemalangan menimpa anaknya itu, Mohd. Azhar berkata, isterinya dihubungi kakak kepada Nabilah yang juga mengetahuinya daripada seorang kenalan di Caribbean sekitar 5 pagi hari kejadian.

“Isteri kejutkan saya memaklumkan anak kami kemalangan dan awalnya saya sangka kemalangan jalan raya tetapi terkena kipas bot ketika sedang berlatih menyelam sekitar pukul 11 malam waktu tempatan.

“Dengar saja cerita itu, luluh hati saya, rasa buntu kerana dia terlalu jauh dan saya juga tidak tahu hendak buat apa masa itu dan terus berdoa agar keadaannya tidak teruk,” luahnya.

Katanya, Nabilah pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) tahun akhir ke Carribean pada 24 September lalu dan dijangka tamat pada hujung bulan ini bagi menjalani latihan praktikum di sana.

“Pada 9 September saya terlibat kemalangan telah akibatkan strok dan Nabilah jaga saya hingga pulih sebelum berangkat ke sana dengan penuh semangat dan gembira kerana ia salah satu impiannya untuk memperoleh lesen menyelam di sana.

“Kami di sini hanya harapkan Nabilah segera pulih berikutan kami juga selalu menerima maklumat terkini dari kenalan bernama Seal dan terkini dimaklumkan dia masih belum sedarkan diri,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga berterima kasih kepada pihak yang sudi membantu keluarganya serta berharap orang ramai mendoakan kesembuhan anaknya itu selain dipermudahkan urusan mereka di sana.

Terdahulu, pengurusan UUM menerusi kenyataan media Naib Canselor, Profesor Dr. Haim Hilman berkata, pihak UUM akan menanggung kos rawatan pelajar berkenaan selain keperluan lain sepanjang di Curacoa. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya