Rakyat Johor berbelah bahagi PRN diadakan - Utusan Malaysia

Rakyat Johor berbelah bahagi PRN diadakan

Mohd. Badrull Hisyam Adam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Rakyat negeri ini masih berbelah bahagi sama ada mahu kerajaan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) demi kestabilan ekonomi dan menolak ia diadakan demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

Rata-rata penduduk yang ditemui mempunyai alasan  tersendiri dan mereka berharap ahli politik akan membiarkan keputusan berdasarkan kepentingan rakyat dan bukannya mengikut kemahuan politik peribadi mereka.

Pekerja sendiri, Mohd. Badrull Hisyam Adam, 32, berkata, kerajaan negeri yang stabil perlu untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi setempat, lebih-lebih lagi buat negeri Johor yang unik kerana mempunyai hubungan rapat dengan Singapura dan Indonesia.

“Pastinya situasi politik yang tidak stabil dan perebutan kuasa antara individu politik akan memainkan faktor dalam sesebuah syarikat khususnya daripada antarabangsa untuk membuat pelaburan.

“Bagi mereka, kerajaan negeri yang tidak stabil bukan hanya akan menyebabkan polisi dan dasar kerajaan berubah-ubah, tetapi, secara tidak langsung akan turut menjejaskan peluang perniagaan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Baru-baru ini, desas desus akan berlakunya PRN Johor semakin kuat kedengaran khususnya selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Ekoran kejadian itu, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad dilihat goyah kerana hanya mempunyai kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding 27 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mohd. Ariff Hafizal Mohd. Fadzli, 30, pula memberitahu, dia berharap sebarang keputusan dibuat kerajaan akan mengambil kira kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

Mohd. Ariff Hafizal Mohd. Fadzli

Jelasnya, sebagai rakyat mereka tidak dapat menghalang sekiranya kerajaan berhasrat untuk mengadakan PRN dalam situasi politik negeri yang tidak stabil ketika ini.

“Walaupun begitu, saya tetap berharap kerajaan akan mengambil kira kepentingan rakyat khususnya melibatkan situasi pandemik Covid-19 yang masih belum selesai sehingga kini.

“Apakah dengan mengadakan PRN dan penubuhan satu kerajaan negeri baharu, penularan wabak Covid-19 akan dapat dihentikan dengan serta merta, jika tidak jadi mengapa perlunya PRN diadakan dalam waktu terdekat,” soalnya.

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Nur pula memberitahu, dia menolak untuk diadakan PRN negeri kerana ia tidak menjanjikan peningkatan dalam taraf hidup masyarakat.

“Dalam tempoh beberapa tahun ini, Johor sudah mempunyai tiga Menteri Besar, jadi adakah terdapat keperluan untuk ianya bertukar lagi. -UTUSAN ONLINE

“Adakah kerajaan negeri tidak dapat menunggu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan agar kerusi Parlimen dan DUN dapat dilaksanakan secara serentak,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN