Pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih tinggi tahun ini - Utusan Malaysia

Pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih tinggi tahun ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan lebih tinggi berbanding 2021 iaitu sekitar lima hingga enam peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School (PBS) berkata, ini berdasarkan beberapa petunjuk ekonomi yang menunjukkan peningkatan terutamanya dalam suku keempat 2021 dan dijangka terus meningkat pada suku tahun pertama 2022 ini.

“Contohnya, nilai import dan eksport yang terus meningkat, akaun semasa yang kekal positif, jumlah pekerja yang bertambah serta indeks pelopor dan perkilangan yang berterusan meningkat,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menganggap ancaman varian Covid-19 baharu seperti Omicron akan merencatkan ekonomi negara pada tahun ini, memandangkan sebanyak 97.6 peratus penduduk dewasa telah divaksin dan kadar penggunaan wad unit rawatan rapi (ICU) hanya 53 peratus.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara akan mencapai antara 5.5 dan 6.5 peratus tahun ini, selaras dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) iaitu enam peratus dan Bank Dunia yang meramalkan 5.8 peratus.

Beliau berkata, pertumbuhan itu akan dibantu antaranya pemerkasaan ekonomi digital, mewujudkan sekurang-kurangnya 600,000 pekerjaan dan pemulihan sektor PKS, memandangkan kadar pengangguran semakin baik dengan 4.3 peratus pada 2021 berbanding 5.3 peratus pada 2020.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, ekonomi mampu mencapai sekurang-kurangnya lima peratus pada tahun ini, meskipun diancam varian baharu Covid-19.

“Sekurang-kurangnya pertumbuhan lima peratus boleh dicapai dalam suku tahun pertama tahun ini, hasil daripada peningkatan perbelanjaan dan keyakinan pengguna serta peningkatan produktiviti.

“Bagaimanapun, kesan ancaman varian Omicron bergantung kepada tindakan kerajaan. Asalkan ekonomi tidak ditutup seperti tahun lalu, ia tidak akan memberikan kesan besar kepada ekonomi tahun ini,” katanya.

Sementara itu, pensyarah ekonomi Sunway Business School, Prof. Dr. Yeah Kim Leng menyifatkan unjuran ekonomi tahun ini boleh dicapai berdasarkan momentum pertumbuhan eksport dan pelaburan domestik, malah negara berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi varian Covid-19 baharu berikutan akses vaksin yang mencukupi.

“Perbelanjaan kerajaan melalui Belanjawan 2022 dijangka memberikan sokongan selanjutnya kepada momentum pertumbuhan yang dijangka lebih tinggi tahun ini.

“Selagi tiada perubahan dasar terhadap pasaran semasa atau ketidakstabilan politik, ekonomi negara mungkin akan mengatasi potensi pertumbuhannya. Cuma, Omicron atau mana-mana varian baharu Covid-19 tidak menyebabkan sekatan pergerakan  besar-besaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya