Perhilitan Perak tangkap harimau kumbang berkeliaran  - Utusan Malaysia

Perhilitan Perak tangkap harimau kumbang berkeliaran 

HARIMAU kumbang jantan yang masuk perangkap dipasang Perhilitan Perak di Kampung Asli Kenang Baru Jalong Tinggi dekat Sungai Siput semalam. - UTUSAN/IHSAN PERHILITAN PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seekor harimau kumbang jantan seberat 37 kilogram ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak selepas haiwan itu memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Asli Kenang Baru Jalong Tinggi dekat Sungai Siput semalam.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, perangkap tersebut dipasang berikutan aduan penduduk berkaitan gangguan haiwan liar itu berhampiran kandang lembu di kampung berkenaan pada 24 Disember lalu.

Katanya, tiga kakitangan Perhilitan Daerah Sungai Siput telah datang ke lokasi bagi membuat pemantauan dan mengambil tindakan.

“Setibanya di lokasi, didapati terdapat seekor harimau kumbang berkeliaran di sekitar kandang lembu.

“Setelah perbincangan dijalankan, kita mengambil keputusan untuk menembak haiwan itu menggunakan ubat pelali pada awal pagi bagi menjamin keselamatan anggota dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemantauan di lokasi itu pada pukul 7 petang pada keesokan harinya mendapati harimau tersebut telah masuk semula ke kawasan hutan belukar berhampiran kawasan kandang lembu.

Katanya, anggota telah menggunakan umpan ayam dan anak lembu bagi menarik perhatian harimau untuk keluar semula, namun, tidak berjaya.

“Anggota kemudian memasang dua unit perangkap di kawasan tersebut dengan pemantauan terhadap perangkap dijalankan dari masa ke semasa.

“Semasa pemantauan pada pukul 10 malam, semalam, didapati harimau kumbang jantan seberat 37 kg dianggarkan berusia enam tahun yang mendatangkan gangguan telah masuk perangkap,” katanya.

Tambah beliau, harimau kumbang itu telah diserahkan kepada Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk proses pemeriksaan dan rawatan sebelum dilepaskan semula.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung atas kerjasama yang diberikan dalam usaha menangkap harimau kumbang ini. 

“Penduduk kampung dinasihatkan agar sentiasa membersihkan kawasan kandang haiwan ternakan dan kebun dengan tidak dibiarkan bersemak sebagai langkah untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar di kawasan berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya