PONTIAN: Sebarang tindakan untuk memboikot ayam adalah hak pengguna, namun bahan mentah itu masih merupakan lauk yang lebih murah berbanding ikan dan daging lembu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan NB Poultry Processing Industries Sdn. Bhd., Baharudin Ahmad berkata, jika langkah memboikot itu berlaku, penternak terpaksa mengurangkan bilangan ternakan.
Katanya, apabila penternak mengurangkan ternakan, bekalan akan berkurangan dan pengguna juga yang akan mengalami masalah terutama jika mereka memerlukan kuantiti yang besar.
Menurut beliau, sebagai pengilang dan pemborong, kerajaan juga perlu mengambil kira soal kerugian yang terpaksa ditanggung mereka berikutan harga belian ayam di ladang yang sentiasa meningkat.
“Soal boikot adalah hak pengguna untuk membuat pilihan, penternak juga boleh mengambil langkah dengan menghentikan proses ternakan mereka di ladang.
“Ini akan menyebabkan bekalan ayam terputus selama 36 hari,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Akhbar ini melaporkan, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, boikot ayam oleh pengguna boleh menggugat dan melumpuhkan industri ayam.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, rakyat diminta bersedia dan perlu memahami kenaikan semula harga ayam melebihi RM9.10 sekilogram selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) berakhir 4 Februari ini.
Sementara itu, tambah Baharudin, sebagai penternak mereka juga berhak untuk menghentikan aktiviti sekiranya terus menanggung kerugian disebabkan faktor dedak dan harga anak ayam yang tinggi
“Ketika ini pun banyak ladang atau reban ayam yang terpaksa ditutup kerana sukar untuk mendapatkan pekerja tempatan, manakala pengambilan pekerja asing melalui pelbagai birokrasi,” ujarnya.
Katanya, jika kerajaan terus memberikan tekanan kepada penternak, pengilang dan pemborong akan menyebabkan sumber ayam tempatan akan terus berkurangan dan terpaksa bergantung kepada ayam import.