PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyifatkan pelantikan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay selaku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dapat memperkukuhkan barisan kepemimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengharungi apa juga cabaran mendatang.
Katanya, beliau yakin Ayob Khan mampu memikul amanah diberikan dengan cemerlang selain pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan.
“Saya dan seluruh warga PDRM mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Ayob atas pelantikannya sebagai Pengarah JSJN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain menyerahkan tugas dan tanggungjawab sebagai Pengarah JSJN kepada bekas Ketua Polis Johor, Ayob Khan.
Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini, disaksikan Acryl Sani.
Pada majlis sama, turut berlangsung serah terima tugas daripada Pengerusi PERKEP JSJN yang sebelum ini disandang Datin Zainah Othman kepada Datin Zaleha Mohd. Ariffin.
Turut berlangsung, Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (P.J.P.N) kepada 50 pegawai dan anggota PDRM bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan bakti mereka kepada negara ketika era darurat serta insurgensi komunis.- UTUSAN ONLINE