KUANTAN: Para pelajar di negara ini disaran memiliki pengetahuan luas sebagai titik tolak dalam menentukan kelestarian generasi pemimpin masa akan datang, sekali gus membentuk keharmonian pada masa depan.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, mereka perlu bijak mengetahui dengan lebih jelas perkara-perkara berkaitan konsep demokrasi berparlimen, raja berpelembagaan, menghayati dan mengamalkan prinsip Rukun Negara.
Menurut baginda, kehidupan belia dan remaja pada hari ini sedang berdepan dengan pelbagai isu baharu yang kompleks dan memerlukan kebijaksanaan mereka bagi mengendalikannya.
“Tidak berhenti di situ sahaja, pelajar seterusnya perlu bersedia berada dalam era Revolusi Industri Kelima (5IR) apabila perkara berteraskan revolusi maya mampu memberi impak besar khususnya, sektor ekonomi, sosial dan pendidikan.
“Untuk berdepan cabaran ini pula, mereka memerlukan pelajar yang memiliki pelbagai ilmu pemikiran dan kemahiran seperti seorang pemimpin, pemikiran kreatif dan penguasaan bahasa Inggeris.
“Susulan hasrat tersebut, Yayasan Al-Sultan Abdullah (Yasa) melalui program pendidikan Akademi Menara Gading (AMG) berkerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur dalam melaksanakan program berkaitan mutu pembelajaran pelajar melalui Program Kepimpinan Access (Access),” titah baginda ketika menyempurnakan pada Majlis Pelancaran Buku Aspirasi Menara Gading dan Majlis Penutup Access Yasa dan Kedutaan Amerika Kuala Lumpur serta Pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Yasa dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Hotel Zenith di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Salehuddin Ishak, Pengarah Besar Yasa, Datuk Dr. Abdul Razak Ahmad, Kaunselor Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat Melinda Masonis dan Pemangku Naib Canselor UMP, Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin.
Seramai 80 pelajar tingkatan lima daripada Program Access yang dibiayai Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur turut hadir untuk diraikan selepas tamat pembelajaran mereka di peringkat sekolah.
Tengku Hassanal berharap lebih banyak pihak dapat melibatkan diri untuk mengadakan program seumpama itu.
“Menerusi program sebegini, kita dapat membantu lebih ramai pelajar miskin, anak yatim, anak masyarakat Orang Asli dan golongan kurang bernasib baik untuk sama-sama cemerlang dalam pendidikan seterusnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading,” titah baginda.
Sementara itu, Dr. Abdul Razak berkata, program Access yang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun bersama Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur itu mampu membantu meningkatkan pembelajaran dalam kalangan pelajar.
“Di samping meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, pelajar yang mengambil bahagian juga dapat meningkatkan kemahiran insaniah khususnya dari segi kepemimpinan, kemahiran berfikir dan mempelajari perbandingan budaya antara Malaysia dan Amerika,” katanya. -UTUSAN ONLINE