KUBANG PASU: Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari sempadan Thailand ke Malaysia dikesan menggunakan modus operandi terbaharu bagi ‘memudahkan’ tugas mereka dengan memakaikan gelang kepada setiap PATI yang dibawa masuk ke negara ini.
Timbalan Komander Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Komisioner Mohd. Noh Khamis berkata, gelang tersebut memiliki dua warna iaitu biru dan kuning yang mempunyai maksud tertentu.
“Gelang berwarna kuning adalah untuk PATI yang akan dibekalkan ke kawasan industri di Kulim manakala gelang biru untuk mereka yang akan dibawa ke Pulau Pinang.
“Apabila nampak saja gelang itu, maka, mereka terus asingkan PATI-PATI tersebut. Langkah ini dipercayai membantu mempercepatkan urusan tekong-tekong terbabit sebagai salah satu taktik mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Markas Taktikal PGA, Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini yang turut dihadiri Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Supritenden Ramli Wan Salin.
Sementara itu, katanya, pada ketika ini pihaknya telah beberapa kali terserempak dengan individu dipercayai PATI di sempadan negara jiran, yang dipercayai cuba memasuki jalan ini melalui jalan tidak sah.
Namun katanya, mereka gagal berbuat demikian kerana rondaan serta pemantauan kerap yang dijalankan di sempadan tanah air.
“Apabila mereka terlihat kelibat pegawai dan anggota yang membuat rondaan, mereka kemudiannya berpatah balik ke kawasan negara jiran,” katanya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, pihaknya telah menahan seorang lelaki warganegara Thailand kira-kira pukul 11.40 pagi pada 18 Januari lalu, ketika dia memikul satu guni putih berisi daun ketum di sempadan tanah air di Wang Kelian, Perlis.
“Menyedari kehadiran kami, lelaki itu cuba melarikan diri namun dia berjaya dikejar dan ditahan. Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemukan sepucuk pistol buatan sendiri mengandungi sebutir peluru 12 bolt.
“Individu berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah. Dia kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut,” katanya. -UTUSAN ONLINE