SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengingatkan orang ramai untuk tidak mengambil kesempatan melupuskan sampah pukal milik mereka di kawasan yang telah dibersihkan di Sri Muda.
Menurut Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor, beliau mendapat laporan kawasan yang dibersihkan di kawasan tersebut dipenuhi semula dengan longgokan pelbagai jenis sampah.
“Kita berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan melupuskan sampah daripada luar kawasan ke kawasan Seri Muda.
“Saya berharap pihak terbabit sama ada pihak industri dan orang ramai melupuskan sampah tersebut di stesen pemindahan dan jangan pula membuang di tempat yang tidak ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir Oleh Emirates Red Crescent kepada pihak MBSA.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, sampah pasca banjir di Taman Sri Muda di sini, didapati paling tinggi dikutip pihak berkuasa setakat ini.
Semalam, kutipan di seluruh kawasan itu melibatkan sebanyak 2,148 tan metrik berbanding 1,822 kelmarin.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, MBSA secara keseluruhannya mengutip 2,630 tan metrik sampah dalam proses pembersihan semalam.
Dalam pada itu, Zamani menambah, sikap pihak tertentu membuang sampah di kawasan terbabit menyebabkan usaha membersihkan Sri Muda daripada sampah yang masih berlonggok tidak berjalan lancar.
Mengulas mengenai jangkamasa pembersihan boleh selesai di Sri Muda beliau berkata, pihaknya menyasarkan minggu ini untuk kerja pembersihan kawasan dapat diselesaikan.
“Setakat ini 60 peratus kawasan Sri Muda telah dibersihkan, namun berharap dengan penggunaan jentera berat seperti ‘backhoe’ dan lori 10 tan yang digandakan oleh KDEB kerja pembersihan dapat dipercepatkan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE