KUALA NERUS: Mayat reput ditemukan orang awam terdampar di Pantai Mengabang Panjang di Batu Rakit di sini, hari ini.
Pengunjung, Abdul Wahab Che Musa, 63, berkata, penemuan mayat itu disedari ketika dia bersama sepupu berada di kawasan pantai untuk melihat ombak besar, selepas pulang bersarapan di kedai berhampiran.
“Terkejut dengan kejadian itu saya segera menghubungi pihak polis. Berdasarkan keadaan mayat, berkemungkinan sudah beberapa hari mangsa meninggal dunia sebelum dihanyutkan ombak,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berkata, penemuan mayat tersebut dilaporkan penduduk kampung pada pukul 8 pagi.
Bagaimanapun, katanya, polis masih menyiasat identiti serta jantina mayat dan orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan Balai Polis Batu Rakit untuk proses pengecaman. -UTUSAN ONLINE