SARIKEI: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemukan mayat seorang lelaki yang dilaporkan jatuh ke dalam Sungai Kenyau, Batang Rajang, Tanjung Manis lewat malam tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mangsa seorang lelaki dikenali sebagai Saipul Arshad , 37, terjatuh ke dalam sungai berkenaan pada jam 10.55 malam tadi dan berjaya ditemukan oleh pasukan SAR pada pukul 10 pagi tadi dekat dengan jeti, tempat dia dipercayai terjatuh.
Mangsa dikatakan jatuh ke dalam sungai setelah perahu yang dinaikinya melanggar tiang jeti lama yang digunakan untuk pemunggahan kayu balak di sungai berkenaan.
Menurut jurucakap itu, kejadian berlaku semasa hujan lebat, manakala kejadian dilaporkan di Balai Polis Tanjung Manis oleh abang mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Katanya, radius pencarian adalah dari jeti lima km ke hilir dan lima kilometer (km) ke hulu sungai.
Turut melibat dalam operasi SAR hari ini termasuk lima anggota polis, lapan anggota Angkatan Maritim Malaysia, emapt Pegawai Jabatan Marin dan 24 orang penduduk kampung.- UTUSAN ONLINE