Masyarakat proaktif, kreatif, inovatif diperlukan bantu bangunkan negara - Utusan Malaysia

Masyarakat proaktif, kreatif, inovatif diperlukan bantu bangunkan negara

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL (kiri) berkenan berangkat merasmikan gerai roti jala dan martabak yang diusahakan Wamala Hassan,64, di Jalan Sekolah Derma, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Masyarakat yang proaktif, kreatif, inovatif, kompetitif dan berpandangan jauh diperlukan dalam membantu membangunkan negara serta negeri.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, persekitaran bekerja di dalam organisasi mahupun gaya hidup masyarakat juga perlu dilonjakkan bagi memastikan masyarakat kekal kompetitif dan berdaya saing melalui corak pemikiran yang lebih kreatif, inovatif dan di luar kebiasaan.

“Pembentukan masyarakat yang proaktif dan berpemikiran keusahawanan merupakan asas dalam menjadikan kita sebagai sebuah negara keusahawanan unggul, maju dan disegani di peringkat global,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat merasmikan gerai roti jala dan martabak yang diusahakan seorang warga emas, Wamala Hassan,64, di Jalan Sekolah Derma, di sini hari ini.

Wamala menerima barang-barang serta peralatan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi projek peningkatan sosioekonomi asnaf.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin turut mengajak masyarakat bersama-sama memupuk semangat keusahawanan terutama dalam kalangan generasi muda.

Titah baginda, lebih ramai rakyat perlu terlibat dalam bidang keusahawanan, pertanian, industri kreatif mahupun perniagaan yang akhirnya akan menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

“Kita perlu mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi yang inklusif, seimbang dan mapan. Begitu juga dalam membentuk sebuah masyarakat yang berpemikiran dan berbudaya keusahawanan,” titah baginda.

Dalam masa sama, baginda juga ingin melihat lebih ramai usahawan terutamanya generasi muda Perlis yang berkualiti, berdaya maju, tahan, berfikiran global dan kompetitif. 

“Kita juga perlu berusaha mempertingkatkan lagi keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi selain memastikan generasi muda memilih keusahawanan sebagai kerjaya pilihan mereka,” titah baginda. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya