Mangsa banjir Sabah meningkat kepada 717 orang - Utusan Malaysia

Mangsa banjir Sabah meningkat kepada 717 orang

Mangsa banjir yang dipindahkan di PPS Masjid Nur Iman Sungai Manjang, Sandakan.-IHSAN APM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah meningkat kepada 717 orang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, Sharudin Md. Zain berkata, setakat 8 pagi tadi, kesemua mangsa yang terdiri daripada 212 keluarga itu masih ditempatkan di sembilan PPS di lima daerah iaitu Kota Marudu, Paitan, Beluran, Telupid dan Sandakan.

Kawasan yang terjejas teruk adalah Kota Marudu dan terdapat tiga PPS yang dibuka iaitu Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek dan Dewan ST. Theresa yang menempatkan sejumlah 557 orang mangsa daripada 181 keluarga.

Di Paitan, PPS Dewan SMK Pamol dan Dewan Kampung Binsulung menempatkan 43 orang mangsa daripada sembilan keluarga manakala, di Dewan Kampung Balaban Jaya, Beluran menempatkan 30 orang mangsa daripada lapan keluarga.

Sementara itu, dua PPS dibuka di Telupid iaitu Dewan Kampung Bakong-Bakong dan Dewan Kampung Rancangan Nangoh yang menempatkan 26 orang mangsa daripada empat keluarga dan di Masjid Nur Iman Sungai Manjang, Sandakan menempatkan 61 orang daripada 10 keluarga.

Beliau berkata, hujan berterusan semalam menyebabkan kawasan tanah rendah di Paitan dan Sugut mula dinaiki air dan penduduk kampung bertindak pantas dengan berpindah ke PPS yang disediakan.

Banjir turut dilaporkan berlaku di Lahad Datu dan Ranau namun, tiada mangsa yang dipindahkan ke PPS.

Satu kejadian tanah runtuh turut dilaporkan di Kampung Segaliud Seberang, Kinabatangan dan seorang mangsa dipindahkan ke rumah keluarganya kerana keadaan rumah tidak selamat diduduki pada masa ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya