Mangsa banjir mula diberikan ubat kencing tikus - Utusan Malaysia

Mangsa banjir mula diberikan ubat kencing tikus

MUHAMAD AKMAL Saleh ketika sidang akhbar di PPS SK Batu Berendam 2, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mangsa bencana banjir kilat di negeri ini mula diberikan ubat mencegah leptospirosis (jangkitan air kencing tikus) yang diagihkan di pusat pemindahan sementara (PPS). 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, setakat ini, tiga pusat pengagihan ubat telah dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka, SK Krubong dan SK Batu Berendam 2.

“Apabila berlaku bencana sebegini, kita bukan sahaja bimbang dengan penularan Covid-19 dalam kalangan petugas atau mangsa banjir, tetapi, kita juga risau dengan penyakit bawaan air seperti kencing tikus. 

“Kita ada prophylaxis iaitu ubat, Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah keluarkan pekeliling bagi mengagihkan doxycycline sebanyak 200 miligram (mg) untuk seminggu yang akan diberikan kepada semua individu berisiko,” katanya dalam sidang akhbar di PPS SK Batu Berendam 2, di sini hari ini. 

Tambahnya, mereka yang berisiko adalah individu yang berada dalam air banjir melebihi tempoh tiga jam. 

Mengulas lanjut berkenaan kes kencing tikus di negeri ini, beliau memaklumkan, sebanyak 34 kes telah direkodkan pada tahun lalu membabitkan faktor pekerjaan dan rekreasi. 

“Jumlah itu kecil kerana pada tahun lalu kita masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak ramai yang terdedah dengan aktiviti air. 

“Bagaimanapun, pada dua tahun lepas iaitu sebelum PKP, kita ada hampir 241 kes direkodkan, jadi dalam bencana banjir yang berlaku sebanyak dua kali dalam tempoh terdekat ini, risiko jangkitan semakin tinggi,” katanya. 

Katanya, bagaimanapun dalam kejadian banjir baru-baru ini pihaknya belum dapat mengesan kes membabitkan kencing tikus kerana tempoh inkubasi adalah antara dua hingga 26 hari. 

“Jadi dalam tempoh ini kita perlu kawal seelok mungkin, supaya kita tidak mahu dalam tempoh sebulan kes Covid-19 menurun, namun kes kencing tikus meningkat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya