Umrah: Lebih wajar dahulukan bantu mangsa banjir - Utusan Malaysia

Umrah: Lebih wajar dahulukan bantu mangsa banjir

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Usaha membantu rakyat yang mengalami kesukaran hidup dan terjejas teruk akibat bencana banjir lebih wajar didahulukan ketika ini daripada menunaikan ibadah umrah terutama bagi mereka yang pernah menunaikan ibadah itu.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan  Salim Wan Mohd. Noor berkata, umat Islam memang digalakkan, malah boleh menjadi wajib untuk membantu saudaranya yang susah.

“Selain itu, perlu difahami amalan atau kebajikan yang manfaatnya melampaui pelakunya kepada orang lain adalah lebih berpahala dan lebih disukai Allah SWT daripada amalan yang manfaatnya hanya terhad kepada pelakunya sahaja. 

“Saya menyeru umat Islam khususnya golongan kaya-raya supaya merebut pahala lumayan yang dijanjikan Allah SWT untuk membantu saudaranya yang susah,” katanya di sini hari ini.

Justeru, beliau menyifatkan keputusan kerajaan menangguhkan sementara pelaksanaan ibadah umrah adalah wajar terutama untuk melindungi jemaah daripada penularan jangkitan Covid-19 varian Omicron. 

Namun, katanya, umat Islam di negara ini perlu mendapat penjelasan lanjut tentang keperluan menangguhkan ibadat berkenaan dari sudut hukum fiqah. 

“Penjelasan dari sudut fiqah ini wajar agar tidak berlaku salah faham bahawa kerajaan menghalang umat Islam di negara ini daripada menunaikan kewajipan yang dituntut oleh agama mereka. 

“Sebenarnya tiada mana-pihak yang ingin menghalang sesiapa pun untuk ke Tanah Suci bagi melaksanakan ibadah berkenaan,” katanya.

Wan Salim berkata, kerajaan pasti akan membenarkan perjalanan untuk mengerjakan ibadah umrah sebaik sahaja  ancaman varian Omicron berakhir. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, para ulama bersepakat tentang kelebihan ibadah umrah, walaupun mereka berbeza pandangan tentang hukumnya antara wajib atau sunat yang digalakkan (mustahabbah). 

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan menangguhkan ibadah umrah berkuat kuasa 8 Januari ini berikutan penularan Covid-19 varian Omicron dan kelmarin, Kabinet bersetuju penangguhan  selama sebulan untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya