Langkah Sheraton: Pengurusan kes rayuan 10 Januari - Utusan Malaysia

Langkah Sheraton: Pengurusan kes rayuan 10 Januari

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tarikh sebenar pendengaran rayuan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung kes saman pengundi Gombak yang mendakwa beliau menipu dan melanggar tanggungjawab fidusiarinya akan ditetapkan pada Isnin ini.

Peguam, N. Yohendra yang mewakili 10 pengundi Parlimen tersebut ketika dihubungi berkata, prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini hanyalah untuk memaklumkan mahkamah bahawa segala dokumen berkaitan rayuan tersebut dalam keadaan teratur.

Prosiding itu dilaksanakan secara Zoom itu di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Yaacob Md. Sam, bersama-sama  Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Nordin Hassan.

Peguam, Nizamuddin Hamid yang mewakili Mohamed Azmin ketika dihubungi turut mengesahkan perkara serupa.

Mohamed Azmin memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman 10 pengundi Gombak.

Pada 30 Jun 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas Menteri Besar Selangor itu selepas mendapati terdapat beberapa isu yang perlu diputuskan melalui perbicaraan.

Mahkamah tersebut turut menetapkan 7 hingga 10 Jun 2022 untuk perbicaraan kes saman itu.

Pada 12 Mac 2021, Mohamed Azmin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pengundi-pengundi Gombak itu atas alasan saman tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah, remeh, menyusahkan, suatu penyalahgunaan proses mahkamah dan melanggar hak asasi beliau untuk bebas berpersatuan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Fasal (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 27 November 2020, 10 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menteri terbabit telah menipu dan melanggar kewajiban fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari tahun lepas. 

Menurut pernyataan tuntutan 10 pengundi Gombak yang berusia antara 38 hingga 66 tahun itu, Mohamed Azmin selaku defendan telah membuat pelbagai janji termasuk menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 di bawah tiket parti PKR untuk menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pegawai-pegawai awam yang korup.

Defendan pada pilihan raya itu memenangi Parlimen Gombak serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan kemudiannya dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh kerajaan PH.

Bagaimanapun, pada 23 Februari 2020, defendan didakwa telah mencetuskan Langkah Sheraton yang mengakibatkan kerajaan PH berpecah, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, parti gabungan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri.

Plaintif mendakwa janji-janji dibuat  Mohamed Azmin adalah palsu dan beliau hanya mahu mendapatkan undi serta tidak berusaha untuk memenuhinya.

Oleh itu, kesemua plaintif memohon satu deklarasi bahawa Mohamed Azmin mempunyai tugas fidusiari dan pemegang amanah para pengundi di kawasan parlimennya dan beliau telah mengingkari, menipu dan memungkiri undi dan sumpah yang dibuat.

Selain itu, plaintif memohon ganti rugi keterlaluan, kos atas dasar asas tanggung rugi (indemnity) dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya