Kumpulan Boria Omara tidak putus asa perjuang seni warisan Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

Kumpulan Boria Omara tidak putus asa perjuang seni warisan Pulau Pinang 

OMAR Md. Hashim (tengah) menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada majlis pengiktirafan dan anugerah warisan Georgetown World Heritage Incorporated (GTWHI) di Georgetown, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Hampir dua tahun sepi tanpa sebarang undangan persembahan pentas akibat pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangat buat kumpulan boria Omara untuk terus mempertahankan seni boria yang merupakan warisan budaya masyarakat Pulau Pinang itu. 

Ketua kumpulan Boria Omara, Omar Md. Hashim, 67, berkata, pada mulanya dia agak bimbang jika 20 ahli kumpulannya yang terdiri daripada anak-anak muda berusia 13 hingga 25 tahun akan putus asa akibat ketiadaan undangan persembahan. 

Namun, katanya, kumpulan mereka bernasib baik kerana kewujudan teknologi pada masa ini membolehkan hasil karya kumpulan Boria Omara dinikmati oleh peminat mereka di medium media sosial seperti di laman Facebook, Omara TV Dok Mai dan Youtube (Omar Hashim Omara). 

“Sepanjang hampir dua tahun pandemik melanda, memang kumpulan kami tiada langsung undangan persembahan pentas serta tidak dapat berjumpa secara bersemuka untuk sesi latihan. 

“Pada mulanya, saya memang takut orang ramai akan lupakan boria, nasib baik saya aktif menggunakan media sosial Facebook serta Youtube jadi persembahan kami masih boleh ditonton di platform berkenaan,” katanya. 

Beliau ditemui selepas menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada majlis pengiktirafan dan anugerah warisan Georgetown World Heritage Incorporated (GTWHI) di sini semalam. 

Anugerah tersebut diterima Omar yang aktif memperjuangkan seni boria di Pulau Pinang sejak hampir sedekad lalu sehingga kini. 

Menurut Omar, hanya pada awal tahun ini kumpulannya menerima beberapa undangan daripada stesen televisyen untuk mengadakan persembahan dan ahli kumpulannya cukup bersedia untuk tampil di khalayak umum. 

“Sepanjang pandemik Covid-19, ahli kumpulan boria Omara sentiasa berinteraksi dan berlatih secara dalam talian. 

“Saya sendiri selaku ketua kumpulan akan mengarang lagu, pantun-pantun baharu untuk diberikan kepada ahli supaya mereka dapat berlatih walaupun kami tidak dapat berlatih secara bersemuka. 

“Cara itu membuatkan ahli kumpulan kami sentiasa bersemangat dan tidak putus asa sehingga hari ini dalam memperjuangkan seni boria,” katanya. 

Dalam pada itu, Omar berkata, dia yakin seni persembahan boria tidak akan pupus sekiranya ahli kumpulan aktif mendedahkan kepada masyarakat mengenai seni budaya itu menerusi media sosial. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya