KPD terima rasuah: Polis Perak sedia beri kerjasama kepada JIPS - Utusan Malaysia

KPD terima rasuah: Polis Perak sedia beri kerjasama kepada JIPS

MIOR Faridalathrash Wahid membaca khutbah Jumaat pada program HPP Solat Jumaat Polis Perak di Masjid Jame' Al-Marbawi, Lubuk Merbau di Padang Rengas hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG RENGAS: Polis Perak terbuka kepada siasatan berkaitan seorang Ketua Polis Daerah (KPD) di negeri ini yang dikatakan menerima rasuah bagi melindungi aktiviti judi haram seperti dakwaan yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk menyiasat dakwaan berkenaan bagi mengesahkan ia benar atau sebaliknya.

Katanya, dakwaan itu telah beberapa kali tular di media sosial dan dilihat sebagai provokasi terhadap tindakan tegas KPD terbabit dalam membanteras kegiatan jenayah di daerahnya.

“Kita tahu tindakan yang dilakukan KPD itu berkesan di mana beliau telah bertungkus-lumus membanteras kegiatan judi haram tanpa sebarang kompromi. Isu-isu jenayah, maksiat, perjudian dan gangsterisme telah di tanganinya dengan baik.

“Mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan tegas beliau. Bagaimanapun, saya terbuka dan mengalu-alukan pihak JIPS untuk menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program High Profile Policing (HPP) Solat Jumaat Polis Perak bersama penduduk Kampung Lubuk Merbau di Masjid Jamek Al-Marbawi di sini hari ini.

Mior Farid berkata demikian bagi mengulas perkongsian di Twitter oleh akaun bernama Edisi Khas yang mendakwa, mana-mana ‘tokey’ yang mahu membuka premis perjudian boleh menghubungi ketua polis daerah terbabit untuk berunding bayaran bulanan.

Mengulas lanjut beliau berkata, dakwaan berupa tohmahan tersebut bukan hanya melibatkan KPD berkenaan sahaja malah ada dalam kalangan pegawai dan anggotanya berhadapan situasi serupa.

Menurutnya, setakat ini beliau tidak dapat mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut namun menegaskan polis daerah berkenaan telah mengambil tindakan sewajarnya bagi membanteras kegiatan judi haram.

“Saya boleh sahkan daerah Manjung telah mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti haram di daerah itu, bukan sahaja Manjung, saya harap semua KPD lain akan mengambil tindakan sama dalam membanteras kegiatan haram di daerah masing-masing

“Tidak kiralah sama ada ia membabitkan kegiatan perjudian, pelacuran dan kongsi gelap malah baru-baru ini kegiatan bitcoin di Manjung,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya