PETALING JAYA: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menasihatkan Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar direhatkan sementara waktu bagi meredakan sedikit sebanyak ketegangan yang sedang berlaku ekoran dakwaan gangguan seksual baru-baru ini.
Naib Presiden Putra, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir berkata, perkara itu tidak bermakna Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkenaan bersalah sebaliknya demi menjaga integriti badan kehakiman agar sentiasa dipandang sebagai sebuah institusi perundangan berwibawa dan terus dipertahankan di negara ini.
Katanya, cadangan Mohd. Na’im direhatkan dibuat berdasarkan dua pertimbangan iaitu selaras dengan Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan memberikan ruang kepada proses siasatan yang lebih cepat dan mudah.
“Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak pula membawa maksud Ketua Pengarah JKSM bersalah, sebaliknya, bagi menjaga integriti badan kehakiman agar sentiasa dipandang sebagai sebuah institusi perundangan yang berwibawa dan dapat dipertahankan di negara ini selaras dengan cita-cita untuk meletakkan perundangan syariah sebagai yang terbaik.
“Namun, Putra tetap dengan pendirian prinsip undang-undang yang menjelaskan bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah dan setiap orang yang dituduh atau didakwa mempunyai hak untuk menafikan dakwaan dibuat ke atasnya.
“Sebaliknya, bermakna kami tidak menolak prinsip berani kerana benar yang dipertahankan oleh setiap orang rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam hal ini, Aziz Jamaludin berkata, memandangkan dakwaan yang dikaitkan itu sedang dalam siasatan, adalah lebih baik sekiranya orang dikaitkan direhatkan sementara waktu sehinggalah proses siasatan selesai.
Katanya, langkah itu sangat sesuai untuk menjaga imej JKSM dan Islam di samping juga dapat meredakan tekanan-tekanan yang bakal timbul ekoran daripada keengganan orang dikaitkan.
“Berehat sementara bukan bermakna mengalah kepada tekanan dan bersetuju dengan dakwaan, sebaliknya ia memberikan ruang yang lebih terbuka kepada proses siasatan dan juga kepada seseorang yang dikaitkan melihat kebenarannya.
“Putra berpendirian dengan merehatkan sementara Nai’m tidak bermakna jawatannya sebagai Ketua Pengarah JKSM hilang, sebaliknya, ia akan kekal apabila kebenaran muncul dan imej JKSM akan dapat dipulihkan,” katanya.
Beliau berkata, Putra berharap agar rakyat tidak sewenang-sewenangnya membuat spekulasi atau fitnah seolah-olah menganggap ia sudah bersalah sedang ia masih lagi dalam siasatan. -UTUSAN ONLINE