Kementerian Undang-undang perlu diwujudkan semula - Utusan Malaysia

Kementerian Undang-undang perlu diwujudkan semula

WAN Junaidi Tuanku Jaafar (dua kiri) beramah mesra bersama ketua-ketua jabatan kementerian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Menteri (Parlimen dan Undang-undang) di Bangunan Hal Ehwal Undang-undang Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah hampir 30 tahun dibubarkan, Kementerian Undang-Undang perlu diwujudkan semula bagi menyelia pelbagai isu perundangan semasa yang semakin kompleks.

Saranan ini dibayangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar terhadap masa depan portfolio dipegangnya itu.

“Saya lihat negara kita sepatutnya balik kembali kepada era 1960-an, 1970-an dahulu, apabila kerajaan pada waktu itu ada sebuah Kementerian Undang-Undang yang tersendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2022 peringkat jabatan tersebut di sini hari ini.

Kali terakhir Kementerian Undang-Undang diwujudkan pada 1995 yang diterajui Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar sebelum dijadikan bahagian di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Portfolio itu mula dibentuk selepas kemerdekaan pada 1957 dikenali sebagai Kementerian Dalam Negeri dan Keadilan sebelum ditukar nama kepada Kementerian Keadilan pada 1959.

Ia diubah pula kepada Kementerian Undang-Undang pada 1992 sebelum dimansuhkan tiga tahun kemudian dan ketika ini terdapat hampir 20 agensi berbeza di bawah portfolio tersebut.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, keperluan diwujudkan satu kementerian khusus amat penting kerana semua agensi yang terlibat merupakan organ utama pihak kerajaan selama ini.

“Malah usaha transformasi kerajaan pun tidak boleh lari dalam melibatkan pelbagai pindaan dan rang undang-undang baharu yang perlu ada kementerian khas sebagai penyelaras,” katanya.

Beliau memberi contoh inisiatif pembaharuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk dirancang diletakkan terus di bawah kawal selia Parlimen.

Dua agensi di bawah portfolio beliau itu cukup besar, namun berbeza peranan dengan agensi kerajaan lain dengan ada yang perlu mempersembahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, beliau akan membawa cadangan bagi pewujudan Kementerian Undang-Undang dalam masa terdekat kepada Perdana Menteri sebelum dibincangkan dalam jemaah Kabinet.

“Idea ini mungkin mengambil masa sedikit tetapi ia memang ada dalam perancangan dan penelitian rapi untuk menjadi kenyataan apabila tiba waktu yang sesuai nanti,” jelas Wan Junaidi. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya