KUANTAN: Kementerian Luar bercadang mewujudkan jawatan ‘Atase’ kebudayaan di luar negara dalam usaha memenuhi keperluan dalam bidang diplomasi kebudayaan pada Bajet 2023.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, melalui adanya wakil itu nanti akan memperkasakan lagi usaha untuk membantu mempromosikan negara ke tahap lebih tinggi di seluruh dunia.
Menurutnya, setakat ini perbincangan awal sudah dilakukan membabitkan empat kementerian iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Atase kebudayaan itu nanti yang pastinya bukan datang daripada Kementerian Luar, tetapi datang dari agensi-agensi berkaitan yang mempunyai peranan dalam mempromosikan diplomasi kebudayaan.
“Ketika ini, kita mengambil pandangan daripada semua pihak dan harap pada 2023, kerja diplomasi kebudayaan boleh berjalan dengan sempurna.
“Kita akan cari jalan untuk memulakannya dengan projek kecil iaitu festival mini, filem pendek dan dokumentari dengan bajet yang tidak besar dan memilih pilih satu atau dua kedutaan menganjurkannya dengan menjemput orang awam sebagai projek perintis,” katanya kepada dalam sidang akhbar selepas lawatan ke Pejabat Motac Pahang di sini hari ini.
Hadir sama, Penolong Pegawai Tadbir Tinggi Motac Pahang, Rozli Abdul Rani dan Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar Negeri, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Mengulas lanjut berkaitan lawatan tersebut, Saifuddin juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berlata, Pejabat Parlimen Indera Mahkota akan berkerjasama dengan Pejabat Motac Pahang membantu dalam menaikkan semula dan mempromosikan Cherating sebagai destinasi pelancongan popular.
Katanya, dengan kerjasama dan bantuan diberikan nanti dapat mengembalikan kegemilangan Cherating yang satu masa dulu dibanjiri pelancong bukan sahaja di dalam negara malah dari seluruh dunia.
“Oleh kerana penularan wabak Covid-19 telah memberi kesan terhadap pelancongan Cherating yang mempunyai pelbagai tarikan antaranya memiliki keindahan pantai, inap desa, santuari penyu, makanan sepanjang pantai, aktiviti kunang-kunang dan pusat anyaman.
“Diharap Cherating akan kembali popular dengan kehadiran lebih ramai pelancong khususnya domestik dalam tempoh terdekat dan masa-masa akan datang,” katanya. -UTUSAN ONLINE