JASIN: Tidak sampai tiga hari selepas dibenarkan keluar dari pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu di sini, kini sembilan keluarga di Kampung Seri Lanchang, Merlimau kembali semula ke PPS untuk berlindung.
Kali ini, mangsa banjir melibatkan 35 mangsa telah ditempatkan di SK Seri Mendapat, bukannya di SK Parit Penghulu berikutan penempatan di situ dilaporkan sudah penuh.
Penduduk di kampung berkenaan mula resah mengenang nasib mereka yang kerap berulang-alik ke PPS dan kejadian kali ini adalah kelima berlaku, apabila Sungai Lanchang naik mendadak kemudian melimpah serta memasuki rumah penduduk.
Seorang mangsa, Jaafar Omar, 65, berkata, mereka sudah letih mengharungi banjir dan kerap berpindah ke PPS setiap kali hujan lebat berlaku.
Menurutnya, selama sepuluh hari berada di SK Parit Penghulu ekoran banjir pada 17 Disember lalu, semalam air naik lagi hingga memaksa dia bersama lapan keluarga lain ditempatkan di SK Seri Mendapat.
“Penat rasanya kawasan kampung ini kerap dilanda banjir. Dulu banjir yang terjadi paling teruk pada 2006 apabila air naik hingga dua meter. Namun awal tahun lalu, empat kali penduduk di landa banjir.
“Sejak sungai buatan dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka berhampiran Sungai Lanchang, banjir mula melanda kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tinjauan akhbar ini mendapati, sejak pukul 12.00 tengah hari semalam, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau mula memindahkan mangsa dibantu kakitangan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan penduduk kampung.
Seorang lagi penduduk, Zainab Omar, 43, berkata, dia berharap JPS dan kerajaan negeri dapat mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah banjir di kampung berkenaan.
“Baru tiga hari balik ke rumah selepas banjir 17 Disember lalu, hari ini saya sekeluarga berpindah semula ke SK Seri Mendapat. Saya sudah penat harungi keadaan ini, tak tahu bila keadaan akan pulih,” katanya. -UTUSAN ONLINE