SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bersetuju dengan ketetapan baharu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang di surau dan masjid bagi solat Jumaat di seluruh negeri bermula esok.
Cadangan daripada JAIS yang pada masa sama memohon pandangan dan nasihat daripada JKNS dipersetujui termasuk prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi jemaah di semua surau dan masjid yang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, JKNS sudah pun memberikan pandangan dan ulasan mengenai ketetapan terbaru yang dicadang dalam penggunaan semua ruang di surau dan masjid seluruh negeri.
“Pada 28 Disember 2021, JAIS telah memohon pandangan rasmi serta nasihat dari JKNS mengenai kewajaran pelaksanaan Solat Fardu Jumaat dengan kapasiti penuh ruang solat utama dan ruang limpah serta penjarakan fizikal jemaah sekurang-kurangnya satu meter di negeri Selangor.
“Cadangan pihak JAIS telah dipersetujui oleh JKNS beserta ulasan terperinci dan penegasan untuk perlaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) umum melalui surat rasmi yang telah dikeluarkan oleh JKNS bertarikh 31 Disember 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, perkara tersebut juga sudah pun disembah maklum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Sultan Sharafuddin berkenan membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah di semua masjid dan surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat di negeri ini.
Kebenaran tersebut dijangka menyebabkan peningkatan jemaah hadir ke surau atau masjid untuk solat Jumaat sehingga 35 peratus bermula Jumaat ini.
Bagaimanapun, baginda bertitah jarak satu meter antara jemaah di surau dan masjid masih lagi dikekalkan. -UTUSAN ONLINE