Jemaah umrah positif Covid-19 dikawal ketat - Utusan Malaysia

Jemaah umrah positif Covid-19 dikawal ketat

Muhammad Hazim Mohd. Noh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bercampur baur. Itu perasaan kumpulan jemaah umrah Malaysia selepas dijangkiti Covid-19 di Tanah Suci Mekah sebelum sempat pulang ke tanah air dan terpaksa menjalani kuarantin di Arab Saudi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang jemaah yang terkandas di sana, Muhammad Hazim Mohd. Noh berkata, sebanyak 55 daripada 90 jemaah di bawah agensi In Saff Travel and Tours Sdn. Bhd. (In Saff) dijangkiti Covid-19.

Katanya, ketika dimaklumkan tentang perkara itu, dia berasa agak ralat kerana sudah berada di Madinah selama 12 hari ditambah pula dengan tempoh wajib kuarantin selama 10 hari, memaksanya meninggalkan keluarga selama 22 hari.

“Keadaan sedikit celaru kerana In Saff pertama kali menguruskan jemaah yang terkandas disebabkan Covid-19. Ditambah pula dengan jumlah yang ramai namun AlhamduliLlah mereka pantas dan cermat melakukan kerja.

“Sebaik sahaja tiba di hotel, kami semua diminta duduk seorang satu bilik kerana prosedur operasi standard (SOP) di sana. Untuk satu malam kami perlu membayar 100 riyal (RM111) dan jumlah kosnya termasuk makanan sekitar 1,500 riyal (RM1,675) selama 10 hari kuarantin di sana,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, sekumpulan jemaah umrah negara tidak dapat pulang ke tanah air selepas dipercayai dijangkiti Covid-19 varian Omicron semasa berada di Tanah Suci.

Pengetua pusat pengajian al-Quran, Solusi Pandai Ngaji (SoPaN) itu turut menceritakan pengalamannya semasa menjalani proses kuarantin di negara berkenaan yang mempunyai pelbagai ragam daripada pelbagai pihak kerana takut penularan wabak.

Jelasnya, kementerian kesihatan dan polis Arab Saudi memerhati mereka melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang membuatkan mereka tidak boleh langsung keluar daripada bilik dan hanya menghabiskan masa bersendirian dengan melakukan ibadah.

“Untuk penghantaran makanan pula, pihak hotel memasukkan hidangan itu ke dalam lif, lalu menekan butang lantai kami. Kemudian ada dua jemaah yang menunggu di depan pintu lif untuk menyambut dan mengedarkan makanan dari bilik ke bilik,” katanya.

Sementara itu, seorang guru yang turut terkandas di Madinah, Noraini Ahmad, 38, berkata, dia tidak percaya dijangkiti virus itu, namun bersyukur diberi peluang untuk tinggal lama di sana.

NORAINI AHMAD

“Disebabkan kami pergi sendiri tanpa mengambil pakej daripada agensi umrah, saya bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan. Jadi apabila hari pertama dijangkiti saya cuba rujuk pelbagai pihak untuk mendapatkan maklumat dan penjelasan mengenai SOP.

“Disebabkan sebelum kami ke Madinah, kami sudah mengambil insurans yang meliputi isu-isu seperti membiayai kos kuarantin di pusat penginapan dan sebahagian pula mengambil Al Khairi Care, jadi urusan kami di sini betul-betul dimudahkan oleh mereka,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya