KLANG: Negara dikatakan berada dalam landasan yang betul ke arah mengakhiri jangkitan AIDS menjelang 2030 apabila bilangan jangkitannya menurun sebanyak 66 peratus berbanding hampir 20 tahun lalu.
Berdasarkan data terkini pada 2020, sebanyak 3,146 kes dilaporkan berbanding 6,978 kes setahun pada 2002 iaitu nisbah penurunannya dapat dilihat daripada 28.5 kes kepada 9.3 kes dalam 100,000 penduduk.
Bagaimanapun dalam tempoh sama juga, perubahan tren jangkitan turut berubah daripada kalangan mereka penyuntik dadah yang dahulu menyumbang kepada 80 peratus kini peningkatan kepada 95 peratus jangkitan dikesan berlaku melalui hubungan seksual termasuk homoseksual dan transgender.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, pemberian ubat antiretroviral (ARV) kepada orang yang hidup dengan HIV (ODHA) juga telah meningkat dari 28 peratus pada tahun 2015 kepada 58 peratus pada tahun 2020.
Menurutnya, negara juga dapat mengekalkan kadar jangkitan vertikal HIV dari ibu ke anak di bawah dua peratus sekaligus mencapai tahap eliminasi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Kajian Integrated Bio-Behavioural dilaksanakan setiap tiga tahun oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan peningkatan kadar jangkitan HIV di kalangan men having sex with men (MSM) dan populasi transgender. Situasi ini memerlukan komitmen serta respon yang agresif dan inovatif dalam menurunkan jangkitan melalui transmisi seksual.
“Liputan ARV bagaimanapun masih lagi rendah jika dibandingkan dengan sasaran 95 peratus dalam usaha kita mengakhiri AIDS menjelang 2030. InsyaAllah, dengan usaha yang berterusan, saya percaya sasaran ini dapat kita capai secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Perasmian Inisiatif Mengakhiri AIDS Melalui Kerjasama Pintar Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (GO-NGO) Model Klinik Kesihatan (KK) 2.0 Peringkat Kebangsaan di Klinik Kesihatan Pandamaran di sini hari ini.
Khairy Jamaludin menjelaskan, kerajaan menyediakan rawatan percuma bukan sahaja di fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik kesihatan seluruh negara malah diperluaskan menerusi strategi saringan di peringkat komuniti yang turut melibatkan program Pengurangan Mudarat (Harm Reduction).
“KKM menyalurkan peruntukan kepada Majlis AIDS Malaysia sebanyak lebih RM170 juta sejak penubuhannya. Pada hari ini, saya menyerahkan sumbangan kerajaan sebanyak RM7 juta bagi melaksanakan program pencegahan HIV komprehensif oleh NGO bagi tahun 2022.
“Ramuan untuk mengakhiri AIDS terdiri daripada empat ‘P’ iaitu Political will (kehendak politik), Policy (dasar), Participation (penyertaan), dan akhir sekali, Perseverance (ketahanan). Saya percaya, kita memiliki kesemua ramuan 4 P tersebut. Namun, ia bukanlah suatu tugas yang mudah,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE