MUAR: Kehadiran penyanyi rock tersohor negara, Amy Search yang melawat dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) di Pagoh, di sini nyata mencuri tumpuan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di situ.
Amy Search atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 64, hadir bersama-sama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad bagi menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di PPS tersebut.
“Lawatan saya bertujuan bagi menyantuni mangsa-mangsa banjir selain memberi sokongan moral kepada mereka dalam menempuhi musibah ini. Pada masa sama, saya turut menyampaikan produk kopi milik saya iaitu Kopi Phewiiit kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS ini,” katanya.
Dalam lawatan itu, Menteri Besar turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,500 daripada kerajaan Persekutuan dan negeri kepada ketua isi rumah terlibat.
Selain menyampaikan sumbangan produk kopinya, Amy Search turut berkesempatan mendendangkan lagu Isabella sebagai memenuhi permintaan seorang peminatnya di PPS itu.
Amy Search berkata, kunjungannya ke dua PPS di Pagoh itu merupakan sebahagian daripada usahanya bagi menyantuni mangsa banjir di seluruh negara.
“Sebelum ini, saya telah hadir ke beberapa PPS di Dengkil dan Shah Alam bagi melihat sendiri keadaan mangsa banjir. Musibah yang melanda pada kali ini agak teruk kerana melibatkan mangsa yang banyak dengan kerugian besar.
“Saya berharap agar semua mangsa banjir diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menempuh dugaan yang melanda mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Hasni berkata, kerajaan negeri akan memperkenalkan pelbagai bantuan pasca banjir bagi meringankan bebanan semua mangsa bencana alam berkenaan di negeri ini dengan usaha itu sedang dirangka pihaknya.
“Saya berharap mangsa-mangsa banjir tidak bimbang, kita tidak akan membiarkan mereka (mangsa banjir) begitu sahaja. Kerajaan Negeri telah merangka bantuan pasca banjir.
“Bagaimanapun, bantuan akan disalurkan secara berperingkat-peringkat mengikut keadaan semasa. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan sukarelawan yang terlibat dalam menguruskan mangsa banjir di negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, persediaan banjir yang dilakukan kerajaan negeri kali ini amat baik hasil peranan yang dimainkan kesemua agensi terlibat dalam menguruskan bencana itu yang mula melanda Johor pada 1 Januari lalu.
“Kalau kita lihat hari ini hanya tinggal empat daerah sahaja yang masih membuka PPS. Daerah-daerah lain telah mula menutup PPS kerana keadaan sudah semakin pulih,” katanya. – UTUSAN