PETALING JAYA: Kedudukan Malaysia terus merosot iaitu di tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021.
Keadaan itu menyaksikan kedududukan Malaysia terus merosot berbanding di tangga 57 pada tahun 2020.
Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan berkata, markah dan pangkat CPI Malaysia telah jatuh sejak dua tahun berturut-turut dan jelas menunjukkan negara langsung tidak mencapai kemajuan yang diharapkan.
“Tetapi, negara sedang menuju ke arah kemerosotan dari segi membanteras rasuah, menyokong hak asasi manusia dan demokrasi,” katanya ketika membentangkan CPI 2021 secara maya hari ini.
Kata Muhammad, tindakan sangat terhad daripada kerajaan sedia ada dan sebelum ini dalam membendung aktif rasuah politik dan mengukuhkan hak asasi manusia di Malaysia serta penggantungan Parlimen dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin menjadi punca kemerosotan kedudukan negara dalam indeks tersebut.
“Contohnya, Akta Pembiayaan Politik yang dijadual akan dibentang di Parlimen oleh kedua-dua kerajaan masih belum terlaksana, juga Rang Undang-Undang (RUU) IPCMC telah ‘dilonggarkan’ kepada versi tidak efektif dan dijenamakan semula sebagai RUU IPCC.
“Selain itu, negara kurang kehendak dalam memperbaharui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi institusi anti-rasuah yang benar-benar bebas dan berada di bawah tanggungjawab Parlimen seperti dicadangkan masyarakat sivil pada 2015, malah tafsiran Akta Rahsia Rasmi yang membawa kepada kurangnya ketelusan dalam hal berkepentingan awam seperti kontrak rundingan secara langsung,” katanya.
Beliau mendakwa, mahkamah melepas tanpa membebaskan sesetengah individu yang didakwa dalam kes berprofil tinggi telah memberikan persepsi negatif tentang perjalanan proses undang-undang di Malaysia, dan bagi mengurangkan persepsi sedemikian menuntut penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara.
Selain itu, TI-Malaysia mendapati, terdapat kekurangan hasil yang boleh diukur dilihat daripada Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) yang merupakan dokumen komprehensif dengan inisiatif dan sasaran yang jelas memandangkan kejayaan itu terletak pada pelaksanaannya.
“Ketua Setiausaha Negara diberi kuasa untuk memimpin usaha pelaksanaan dan dipertanggungjawabkan dalam memastikan segalanya berjalan lancar, namun malangnya, kemajuan amat terhad dalam hal ini.
“Ini juga didorong oleh laporan negatif berterusan mengenai salah laku dan tadbir urus yang lemah oleh pegawai kerajaan dalam laporan Ketua Audit Negara yang kelihatan berulang dan tidak diambil tindakan tatatertib,” katanya. -UTUSAN ONLINE