PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) memaklumkan kejadian hujan batu di beberapa kawasan di ibu negara petang semalam merupakan fenomena yang biasa terjadi di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ini kerana hujan batu berlaku ketika kejadian ribut petir yang kuat bersama hujan lebat dan angin kencang.
Katanya, apabila awan Kumulonimbus yang aktif mencapai ketinggian 12 kilometer (km), suhu udara di dalam awan tersebut melepasi nilai ambang tahap beku dan pembentukan ketulan ketulan ais di atas lapisan tersebut.
“Ais yang terbentuk di dalam awan turun bersama-sama hujan sebagai ketulan ais yang tidak sempat mencair sebelum sampai ke tanah.
“Titisan hujan yang terbentuk sebagai ketulan-ketulan air batu kebiasaannya bersaiz kecil sekitar 1.5 cm iaitu sebesar guli.
“Kejadian hujan batu ini lazimnya berlaku setempat (localised) iaitu kawasan yang berada di bawah awan Kumulonimbus. Tempoh kejadian hujan batu juga agak singkat iaitu sekitar 10-20 minit sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan, penduduk di beberapa kawasan di ibu negara dikejutkan dengan kejadian hujan batu.
Kejadian sekitar jam 5 petang itu berlaku di beberapa kawasan antaranya Ukay Perdana dan Wangsa Maju.
Fenomena itu menjadi tular dalam laman media sosial apabila netizen mula berkongsi perihal hujan batu tersebut.
Mengulas mengenai kejadian itu, Muhammad Helmi berkata, berdasarkan kepada imej radar dan satelit, awan hujan dan ribut petir aktif mula dicerap memasuki Kuala Lumpur pada pukul 3.30 petang.
“Untuk kejadian ribut petir pada tempoh tersebut, Met Malaysia telah mengeluarkan Amaran Ribut petir pada pukul 2.55 petang meliputi kawasan Kuala Lumpur dan amaran berkuat kuasa sehingga pukul 6.00 petang
“”Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi. Orang awam juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia bagi sebarang pertanyaan lanjut,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE