Enam barangan disenarai dalam Skim Harga Maksimum Tahun Baharu cina 2022  - Utusan Malaysia

Enam barangan disenarai dalam Skim Harga Maksimum Tahun Baharu cina 2022 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak enam jenis barangan harga terkawal dikuatkuasakan menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina (SHMTBC) 2022 bermula 29 Januari sehingga 4 Februari depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tarikh tersebut merupakan tiga hari sebelum, semasa dan tiga hari selepas perayaan.

“Sebanyak enam jenis barangan harga terkawal akan dikuatkuasakan melibatkan barang keperluan harian dari kategori hasil laut, barangan kering dan daging babi.

“Jumlah keseluruhan barangan harga terkawal bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dan SHMTBC 2022 adalah sebanyak 18 jenis barangan daripada kategori ayam, telur ayam, sayur, barangan kering dan daging babi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexander memaklumkan, senarai barangan harga terkawal bagi SHMTBC 2022 adalah ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor) dan udang putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram).

Selain itu, katanya, bawang putih (China), babi hidup (kawalan di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Pada masa ini SHMKM sedang berkuat kuasa bermula 1 Januari lalu sehingga 4 Februari depan.

Sebanyak 12 jenis barangan ditentukan harga maksimum tersenarai di bawah skim ini seperti ayam, telur ayam dan sayur-sayuran.

Alexander berkata, peniaga dan orang ramai boleh menyemak harga bagi barang-barang yang terlibat di bawah SHMMP Tahun Baharu Cina di laman web kementerian iaitu www.kpdnhep.gov.my.

“Kementerian ini akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi memastikan keberadaan bekalan di pasaran yang memudahkan Keluarga Malaysia mendapatkan barangan keperluan harian pada musim perayaan.

“Pegawai penguat kuasa sentiasa berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini. 

Katanya, mana-mana peniaga melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya