PUTRAJAYA: Ketika beberapa negeri dilanda banjir, rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, agama, status sosial bersatu hati memberi komitmen dalam membantu mereka yang terjejas akibat musibah itu.
Pakar Sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata semua golongan termasuk barisan hadapan, agamawan, artis, golongan pekerja, ahli perniagaan dan pelbagai lapisan masyarakat berusaha menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing.
Katanya, ada yang turun padang menyumbang tenaga melakukan kerja pembersihan, wang ringgit, harta benda, malah ada yang menyumbang dalam konteks doa supaya dugaan yang diturunkan kepada mereka terkesan itu reda dalam tempoh terdekat.
“Terdapat juga mereka yang melancarkan tabung bagi mengumpulkan sumbangan berbentuk kewangan dan barangan keperluan untuk disampaikan kepada mangsa banjir dalam kalangan masyarakat.
“Dalam erti kata lain, ahli masyarakat di negara ini mengambil bahagian masing-masing untuk meringankan beban mereka yang terkesan akibat banjir,” katanya hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, perpaduan ini menjadi contoh terbaik yang dicemburui dunia dan diharap ia dapat diaplikasikan bukan hanya dalam konteks banjir, tetapi untuk semua aspek kehidupan.
Beliau berkata, sekiranya perkara itu dapat direalisasikan, pastinya Malaysia akan menjadi sebuah negara yang maju, makmur, sentosa dan sentiasa berada dalam keadaan damai.
“Perpaduan yang terjalin ini mencerminkan aspirasi Keluarga Malaysia seperti yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Keprihatinan yang ditunjukkan oleh masyarakat di negara ini wajar diberi pujian kerana ia mampu untuk menaikkan motivasi dan sokongan moral kepada mereka yang terkesan dek bah baru-baru ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE