Dua lori terbakar di lebuh raya - Utusan Malaysia

Dua lori terbakar di lebuh raya

KEMALANGAN yang melibatkan dua buah treler turut mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbakar di Kilometer 268.4 Lebuh raya Utara Selatan dekat Seremban, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua buah treler membawa muatan jentera berat komponen kren dan kertas terbakar hampir 100 peratus selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Kilometer 268.4 berhampiran susur tol Bandar Ainsdale di sini awal pagi tadi.

Komander operasi, Pegawai Kanan Bomba II, Muhd Zulfadli Ahmad berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 12.19 tengah malam. 

“Sepasukan 13 pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera pemadam api (FRT), tiga Unit Bermotor Bomba (RIM) dan sebuah lori pemadam kebakaran tangki air.

“Kebakaran dipercayai berlaku selepas treler membawa muatan kertas merempuh treler membawa jentera berat yang berhenti di lorong kecemasan disebabkan kerosakan sebelum terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zulfadli, seorang pemandu treler muatan kertas kitar semula berusia 28 tahun telah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk rawatan lanjut manakala pemandu lori muatan komponen kren berusia 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pasukan bomba dan penyelamat meneruskan operasi memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran 200 kaki dua nozzle sumber tangki FRT dan lori tangki air.

“Kami perlu membuat ulangan pengambilan air di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) kerana ketiadaan sumber air dan pili bomba di kawasan lebuh raya sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya selain memastikan kawasan selamat,” katanya yang memberitahu operasi pemadaman selesai pada pukul 4.20 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah treler membawa muatan kertas sedang bergerak dari arah Johor menuju ke arah Bentong, Pahang.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, treler muatan kertas yang dipandu oleh mangsa telah melanggar bahagian belakang bucu kanan sebuah lagi treler membawa muatan komponen kren yang sedang berhenti di lorong kecemasan disyaki mengalami kerosakan tayar.

“Pelanggaran tersebut juga telah menyebabkan lori yang dipandu mangsa mengalami kebakaran,” katanya.

Nanda berkata, pemandu muatan kertas kitar semula telah mengalami kecederaan luka di bahagian mulut.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya