Direktori, transaksi digital penuh di Manjung tahun depan - Utusan Malaysia

Direktori, transaksi digital penuh di Manjung tahun depan

TAKLIMAT Pendigitalan Perkhidmatan MPM di Bangunan MPM Seri Manjung di Lumut semalam. - UTUSAN/ SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menetapkan sasaran dapat melengkapkan direktori penuh perniagaan serta semua maklumat dan transaksi berkaitan daerah Manjung termasuk pelancongan secara dalam talian mulai tahun depan, yang akan membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat dan berurusan di daerah itu hanya menggunakan aplikasi myMANJUNG.

Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, sesiapa sahaja boleh memuat turun aplikasi myMANJUNG dalam peranti masing-masing dan mereka boleh mendapatkan apa sahaja maklumat berkaitan daerah itu mulai tahun depan.

“Fasa pertama iaitu pembayaran cukai taksiran dan permit sudah dilaksanakan dan fasa kedua yang dijangka dilancarkan Mac nanti melibatkan permohonan-permohonan lesen, bayaran ansuran cukai taksiran dan bayaran kompaun dalam talian.

“Selepas itu, fasa ketiga melibatkan pelancongan, iaitu semua produk pelancongan yang diuruskan MPM seperti Taman Paya Bakau, Teluk Batik, tapak perkhemahan dan sebagainya, boleh dibuat tempahan atau pembayaran melalui aplikasi ini juga.

“Maklumat pelesenan juga akan menjadi direktori penuh perniagaan daerah Manjung yang kami boleh klasifikasikan dalam kumpulan-kumpulan kecil, sebagai contoh, kami boleh senaraikan semua kedai makan yang ada dalam aplikasi itu, dan ia memudahkan kita membuat keputusan di peringkat pentadbiran,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Taklimat Pendigitalan Perkhidmatan MPM di sini petang semalam.

Menurut Syamsul Hazeman, sebanyak 22,450 transaksi dalam talian menggunakan myMANJUNG melibatkan kutipan hasil sebanyak RM2.7 juta diterima oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dalam tempoh 1 Julai hingga kelmarin dan dalam tempoh itu juga, seramai 20,393 orang telah mendaftar sebagai pengguna aplikasi itu yang diperkenalkan pada 1 Julai lalu.

Beliau yakin menjelang pertengahan bulan depan semua data peniaga berjaya dikumpulkan termasuk 90,000 premis pemegang harta di daerah itu.

“Kita tidak menetapkan sasaran bilangan pengguna myMANJUNG, tetapi kita mahu melihat peningkatan bilangan transaksi, sebagai contoh, pembayaran cukai taksiran, jika boleh kita mahu semua pemilik premis melunaskan cukai taksiran melalui aplikasi yang kita sediakan ini.

“Ia termasuk peniaga yang membayar permit harian dan ada juga mereka yang tanpa premis tetapi ada perniagaan, jadi ini semua kumpulan-kumpulan sasaran kita untuk menggunakan myMANJUNG,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN