SEGAMAT: Di sebalik keresahan mengenang keadaan rumah yang terjejas akibat bencana banjir, terukir senyuman di wajah mangsa apabila mula menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) lebih awal.
Seorang ketua keluarga, Masudin Ariffin, 57, antara mangsa banjir yang bersyukur dengan pemberian segera BWI kepada mereka meskipun masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, tidak seperti tahun-tahun terdahulu dia dan penduduk Kampung Batu 5, Buloh Kasap perlu menunggu lama selain diminta mengisi pelbagai borang bagi menerima bantuan berjumlah RM500.
“Alhamdulillah…syukur kerana tak pernah lagi sepanjang berdepan musibah ini bantuan kepada mangsa banjir diberikan dengan cepat dan digandakan sehingga RM1,000 kali ini.
“Memang kerajaan Keluarga Malaysia ini sangat prihatin, kami masih di PPS tetapi bantuan sudah diterima dalam bentuk tunai,” katanya kepada Utusan Malaysia di PPS Balai Raya Kampung Tandong, Buloh Kasap hari ini.
Terdahulu, Masudin antara 26 ketua keluarga di PPS berkenaan yang menerima BWI berjumlah RM1,000 dan tambahan RM500 lagi dari kerajaan Johor ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Perdana Menteri turut menyampaikan replika cek BWI berjumlah RM200,000 untuk daerah Segamat selain RM100,000 lagi merupakan Bantuan Wang Ihsan Johor.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Nora Mohd. Noor, 58, turut bersyukur dengan langkah kerajaan menyegerakan bantuan tersebut yang boleh digunakan untuk perbelanjaan pasca banjir.
“Keadaan banjir memang teruk di Kampung Batu 5, kami sudah letakkan barang-barang penting di tempat tinggi tetapi air naik lebih tinggi sehingga ada yang tidak sempat diselamatkan.
“Jadi, sudah tentu saya bersyukur terima dengan cepat bantuan wang tunai daripada kerajaan hari ini berbanding dahulu yang perlu melalui pelbagai proses seperti mengambil gambar keadaan rumah, laporan polis dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu, Nora menghargai tindakan Perdana Menteri yang mahu urusan pemberian itu dipermudahkan selain dia turut meminta kaedah itu dikekalkan pada musim berikutnya.
Setakat tengah hari ini, keadaan banjir di Johor belum menunjukkan tanda-tanda pulih apabila 5,598 daripada 1,516 keluarga masih ditempatkan di 79 PPS di seluruh negeri melibatkan beberapa daerah dengan Segamat antara yang paling tinggi. -UTUSAN ONLINE